Hina Nabi, PAMM Tuntut Kerajaan Tubuh Akta Hukum Penghina

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah mengecam sekeras-kerasnya satu insiden yang didakwa melibatkan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW yang tular di media sosial, sambil menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang.

Pengerusinya, Dato’ Mustafa Idrus, berkata perbuatan tersebut bukan sahaja mencetuskan kemarahan umat Islam, malah berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini, khususnya pada awal tahun baharu 2026.

“Sebarang bentuk penghinaan terhadap agama, khususnya melibatkan Rasulullah SAW, adalah perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina agama, institusi awam atau mencetuskan kebencian, apatah lagi apabila perbuatan tersebut dilakukan secara terbuka dan disebarkan kepada umum.

Sehubungan itu, Dato’ Mustafa menggesa kerajaan supaya mewujudkan satu akta khusus yang lebih tegas bagi menangani kes penghinaan terhadap Nabi dan agama, termasuk memperuntukkan hukuman berat seperti pemenjaraan dan denda yang setimpal.

“Perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan. Jika ia terus berulang dan tidak ditangani dengan serius, dibimbangi kemarahan umat Islam di negara ini akan memuncak dan mencetuskan ketegangan yang tidak diingini.

“Justeru, tindakan awal dan tegas amat penting bagi mencegah sebarang keadaan yang boleh menjejaskan keamanan awam,” tegasnya.

Dalam satu video tular yang berlaku baru-baru ini, seorang wanita Cina bertindak menghina Nabi Muhammad SAW termasuk menghina dan meludah anggota polis bertugas.

Beliau menegaskan bahawa undang-undang perlu ditegakkan tanpa mengira latar belakang individu terlibat.

“Sebagai langkah pencegahan dan pengajaran kepada semua pihak agar menghormati agama serta sensitiviti masyarakat.

“Dalam masa sama, PAMM menyeru umat Islam agar kekal bertenang dan berhemah, serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang adil demi menjaga keharmonian negara,”katanya.

Insiden tersebut kini mendapat perhatian meluas di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi masyarakat, sekali gus menimbulkan desakan agar kesucian agama terus dipelihara dan dihormati.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.