Dikompaun RM1,000, Menteri umum pulangkan empat bulan gaji

 

KUALA LUMPUR– Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali mengambil langkah memulangkan empat bulan gaji selepas akur bersalah melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin COVID-19.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu mengambil langkah tersebut sebagai satu rasa tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

“Sebagai menzahirkan rasa tanggungjawab itu, saya juga dengan ini akan memulangkan semua gaji saya sebagai Menteri untuk Mei hingga Ogos 2020 sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Gaji Mac hingga April juga telah disumbangkan sebelum ini ke tabung tersebut sebagaimana keputusan Kabinet sebelum ini,”katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Dalam isu sama, beliau turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kekhilafan yang berlaku.

“Merujuk kepada kenyataan media KKM dalam isu standard operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

“Saya dengan ini memohon jutaan kemaafan kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kekhilafan yang berlaku,”katanya.

Sebagai menteri katanya, beliau bertanggungjawab untuk akur kepada peraturan SOP sepanjang tempoh PKPP.

Jelasnya lagi, beliau akan melipatgandakan lagi usaha dan tenaganya untuk melaksanakan tugasan amanah sebagai menteri.

Menurutnya, ia bagi memastikan semua rakyat yang terlibat dalam bidang peladangan dan komoditi khususnya kepada lebih sejuta kecil B-40 mendapat manfaat dan kebajikan mereka terjaga.

Terdahulu, KKM dalam satu kenyataan mengesahkan Mohd Khairuddin dikompaun RM1,000.

Menurut KKM, Khairuddin telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

“YB Dato Dr Khairuddin telah pulang dari Turki pada 7 Julai 2020, Sampel nasopharyngeal swab kali pertama telah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif.

“Ujian saringan COVID-19 kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif,”katanya.

KKM berkata, oleh kerana kegagalan Khairuddin gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 342, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM 1,000 kepada menteri tersebut pada 7 Ogos lalu dan telah dijelaskan olehnya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.