Derita perjuangan Bahasa di Patani, Air Mata Malaysia Tumpah Di Semarak Bahasa 2.0 Parlimen Baling

Prof Phausan menerima cenderati daripada ADUN Kupang, YB Dato' Hj Najmi Hj Ahmad sementara Pegawai Khas Ahli Parlimen Baling, En Hashimi Md Isa dari kanan dan Pengarah Program Semarak Bahasa 2.0, Ustaz Subri Yahya dari kiri

BALING– Sastera Ibunda terus diangkat di bumi Baling menerusi program Semarak Bahasa 2.0 yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Baling pada Sabtu lalu.

Program yang memasuki tahun kedua ini menghimpunkan tiga sasterawan daripada tiga buah negara, iaitu Malaysia, Thailand, dan Singapura, dengan penyertaan seramai 30 peserta dari sekitar Baling, Kedah dan Patani Darussalam.

Panel program terdiri daripada Dr Husairi Hussin, Ketua 1 Angkatan Sasterawan Negeri Kedah; Prof Phausan Jehwae, Sasterawan Melayu Patani; dan Bunda Rohani Din, Sasterawati dari Singapura.

Dato’ Sri Dr. Abdul Khani Daud iaitu mantan Pengarah Luar Negara di pejabat Tourism Malaysia, Australia, Singapura, Afrika Selatan dan Thailand turut menyertai bengkel penulisan Semarak Bahasa 2.0

Dalam bengkel yang diadakan, peserta didedahkan dengan teknik menulis cerpen dan novel gaya Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP) oleh Dr Husairi, yang juga aktif menerbitkan pelbagai karya bersama DBP.

Beliau menyokong agar program Semarak Bahasa diteruskan pada tahun hadapan.

 

“Saya melihat program ini mencapai sasaran dalam mengangkat Bahasa Ibunda dan sastera Melayu. Sejawarnya, program Semarak Bahasa 3.0 wajar diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Seramai 30 peserta bengkel Malaysia dan Patani terlibat dalam bengkel penulisan Semarak Bahasa 2.0

Sementara itu, dalam slot bersama Prof Phausan, beliau berkongsi pelbagai tip menulis puisi yang segar dan menarik minat pembaca manakala Bunda Anie Din memperkasakan lagi teknik menulis novel dan puisi para peserta mengikut acuan yang tersedia.

YB Ustaz Hassan menyampaikan cenderati kepada Bunda Rohani Din

Perkongsian Prof Phausan mengenai Bahasa Melayu dan sastera di Patani menyentuh sanubari peserta sehingga mata mereka berkaca dan menitis air mata, terkesan dengan nasib Bahasa Ibunda yang hampir terpinggir akibat asimilasi Siam yang berlaku sejak abad 18 hinggalah kini.

Saudara Silmi (kanan) dan Saudara Nurhanudin (kiri) dari Patani bergambar kenangan bersama Pengarah Program Semarak Bahasa 2.0, Ustaz Subri Yahya

Prof Phausan menjelaskan bahawa perjuangan mempertahankan Bahasa dan sastera Melayu di Patani bukan satu perkara mudah, kerana ia menuntut pengorbanan besar.

Beliau berkongsi pengalaman awal perjuangannya, di mana pernah ditegur apakah tidak takut dengan penjara, namun semangatnya tidak pernah luntur.

Ahli Parlimen Baling, YB Ustaz Hassan Saad menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang penulis muda

 “Jika hilang bahasa dan budaya, maka hilanglah agama kita,” ujarnya, sambil menegaskan tekad untuk terus memperjuangkan Bahasa Ibunda di jalan Allah.

Program Semarak Bahasa, anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Baling dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Kupang, turut mendapat respon positif daripada semua peserta, yang mahu melihat kesinambungan program ini diteruskan lagi.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.