Belakangi titah YDPA satu penderhakaan- PAMM

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Tindakan melengah-lengahkan dan menangguhkan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berhubung perintah tahanan di rumah bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, disifatkan sebagai satu perbuatan menderhaka dan mempunyai ciri-ciri fahaman ‘Khawarij’ yang membekalangi institusi beraja di negara ini.

Kenyataan keras itu disuarakan oleh Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah, Dato’ Dr. Mustaffa Idrus, yang meluahkan kekesalan mendalam terhadap kemelut perundangan yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik sempit.

Menurut beliau, keputusan Lembaga Pengampunan yang telah diperkenankan oleh Sultan Ibrahim selaku YDPA pada September lalu adalah muktamad, jelas, dan tidak mengandungi sebarang kekaburan (ambiguity).

Justeru, sebarang usaha mengekang atau menangguhkan titah tersebut atas alasan teknikal perundangan adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Beliau menegaskan bahawa Najib Razak sepatutnya sudah dipindahkan ke kediamannya bagi meneruskan baki hukuman menerusi kaedah tahanan di rumah.

” Bagaimanapun, tindakan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH)- DAP yang didakwa cuba ingkar dan berdolak-dalik telah menyekat proses keadilan daripada berjalan seperti yang telah dititahkan.

“Sikap segelintir kepimpinan PH-DAP yang dilihat sengaja mencari helah politik bagi menafikan hak bekas Perdana Menteri itu. Tindakan membekalangi institusi Raja-Raja Melayu ini disifatkan beliau sebagai satu petanda buruk yang menghakis kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan,”katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, untuk meletakkan jawatan serta-merta. Beliau menyifatkan kegagalan Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertahankan kelancaran titah YDPA sebagai satu bentuk kelemahan dan ketidakpatuhan yang serius.

“Kita mahu bertanya, Peguam Negara sebenarnya menerima arahan daripada siapa? Siapakah individu atau kluster politik di dalam kerajaan hari ini yang dirasakan mempunyai kuasa lebih besar dan lebih tinggi daripada Yang di-Pertuan Agong sehingga titah diraja pun boleh dikesampingkan?” soalnya dalam satu kenyataan media.

Dr. Mustaffa mengingatkan semua pihak bahawa institusi diraja adalah payung kedaulatan negara dan kemuncak kepada struktur perundangan Malaysia.

” Sekiranya institusi AGC sendiri boleh tunduk kepada tekanan politik kepimpinan PH, maka integriti sistem keadilan negara kini berada dalam fasa yang amat membimbangkan.

“Perbuatan menderhaka kepada titah pemerintah yang sah, apatah lagi ketua negara, menyerupai ideologi Khawarij yang sentiasa mencari jalan untuk mempertikaikan keputusan pihak berkuasa tertinggi demi agenda kelompok mereka sendiri,”katanya.

Tegasnya lagi, sekiranya Peguam Negara dan sekutu politiknya di dalam PH enggan akur kepada sistem perlembagaan yang meletakkan YDPA di kemuncak kuasa, mereka tidak lagi layak untuk memegang portfolio penting dalam pentadbiran serta penguatkuasaan undang-undang negara.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.