Askar perlu segera masuk campur- PAMM

Dato' Dr Mustaffa

ALOR SETAR-Pengerusi Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, menuntut tindakan segera pihak tentera bagi membantu membendung pencerobohan sempadan serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang semakin membimbangkan.

Beliau berpandangan bahawa keadaan yang semakin meruncing memerlukan tindakan tegas, tersusun dan bersepadu antara agensi penguat kuasa dengan pihak keselamatan negara.

” Isu kawalan sempadan, katanya, tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga menimbulkan kesan lebih besar terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.

“Penglibatan tentera wajar dipertimbangkan segera mengikut peruntukan undang-undang dan bidang kuasa yang berkuat kuasa, khususnya bagi memperkukuh kawalan di kawasan sempadan yang berisiko menjadi laluan kemasukan tanpa kebenaran,”katanya.

PAMM Kedah turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemasukan warga asing, termasuk pelarian Rohingya dan individu yang memasuki negara tanpa dokumen sah.
Perkara ini, menurut beliau, memerlukan pengurusan yang lebih berkesan supaya aspek keselamatan, kedaulatan negara dan penguatkuasaan imigresen terus terpelihara.

“Kawalan sempadan tidak seharusnya bergantung kepada satu agensi semata-mata. Sebaliknya, kerjasama antara tentera, polis, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan agensi berkaitan perlu diperkukuh berdasarkan tanggungjawab masing-masing.

“Kalau kita merujuk kepada tindakan Thailand yang menggunakan agensi penguat kuasa dan tentera dalam menangani isu keselamatan serta kawalan sempadan, pendekatan sebegini wajar diteliti bagi mengenal pasti langkah yang bersesuaian dengan keadaan dan keperluan keselamatan Malaysia,”katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, PAMM Kedah berpandangan bahawa tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara konsisten, bukan hanya ketika isu berkenaan mendapat perhatian umum.

” Pemantauan berterusan, risikan yang berkesan dan tindakan terhadap rangkaian penyeludupan manusia perlu menjadi antara keutamaan pihak berkuasa.

“Isu ini juga perlu ditangani secara menyeluruh dengan membezakan antara pelarian yang memerlukan perlindungan kemanusiaan dengan individu yang melanggar undang-undang imigresen.

“Sebarang tindakan hendaklah berpandukan undang-undang, prosedur yang ditetapkan dan prinsip kemanusiaan tanpa mengabaikan kepentingan keselamatan negara,”katanya.

Beliau berkata, PAMM Kedah menegaskan bahawa kedaulatan sempadan merupakan tanggungjawab penting kerajaan yang memerlukan komitmen berterusan.

“Kelemahan penguatkuasaan, jika berlaku, perlu dikenal pasti dan diperbaiki melalui penilaian operasi, penambahan keupayaan serta penyelarasan yang lebih berkesan antara agensi,”katanya.

Sehubungan itu, Dato’ Dr Mustaffa Idrus menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan supaya memberikan perhatian segera terhadap kebimbangan yang dibangkitkan, menilai keperluan penglibatan tentera serta mengambil langkah konkrit bagi memastikan keselamatan sempadan. negara terus terpelihara.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.