ALOR SETAR-Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus melahirkan rasa kesal apabila Belanjawan 2027 tidak menyatakan secara khusus peruntukan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah kerajaan, sekali gus menggesa kerajaan memberikan perhatian serius terhadap aspek keselamatan murid dan pelajar.
Beliau berkata, keselamatan murid tidak seharusnya dipandang ringan kerana sekolah merupakan tempat ibu bapa menyerahkan amanah untuk mendidik anak-anak mereka.
Justeru, persekitaran sekolah perlu dilengkapi kemudahan keselamatan yang bersesuaian bagi mencegah jenayah dan melindungi nyawa.
“Pemasangan CCTV merupakan antara langkah pencegahan yang wajar diberikan keutamaan, khususnya bagi memantau kawasan berisiko, mengesan kejadian mencurigakan serta membantu siasatan sekiranya berlaku insiden yang mengancam keselamatan warga sekolah.
“Jangan tunggu sehingga berlaku kejadian yang meragut nyawa murid atau pelajar, barulah langkah keselamatan dipertingkatkan. Kita tidak mahu anak-anak yang dihantar ke sekolah untuk menuntut ilmu akhirnya pulang sebagai jenazah kepada keluarga,” katanya.
Beliau berkata, ketiadaan pengumuman khusus mengenai peruntukan CCTV dalam Belanjawan 2027 menimbulkan persoalan tentang sejauh mana keperluan pemantauan keselamatan di sekolah diberikan perhatian.
” Kerajaan sewajarnya mempertimbangkan satu peruntukan khusus supaya pemasangan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan terancang,”katanya.
Katanya, PAMM Kedah mendesak kerajaan meluluskan peruntukan penuh bagi pemasangan CCTV di sekolah kerajaan, dengan keutamaan diberikan kepada sekolah berasrama serta institusi pendidikan yang dikenal pasti mempunyai risiko keselamatan lebih tinggi.
Beliau turut menegaskan bahawa peruntukan berkenaan perlu meliputi kos pembelian peralatan, pemasangan, penyelenggaraan dan penggantian kamera yang rosak.
“Tanpa penyelenggaraan berterusan, kemudahan CCTV berisiko tidak berfungsi ketika paling diperlukan.
“Pemasangan CCTV perlu merangkumi lokasi strategik seperti pintu masuk dan keluar, koridor, tangga, kawasan asrama serta kawasan lain yang dikenal pasti berisiko. Pelaksanaannya juga perlu mematuhi peraturan privasi dan tidak menceroboh ruang peribadi murid,”katanya
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa CCTV bukan satu-satunya penyelesaian kepada masalah keselamatan sekolah.
“Pemantauan guru, rondaan keselamatan, tindakan disiplin dan saluran aduan yang berkesan perlu diperkukuh bagi memastikan sebarang ancaman dapat dikenal pasti dan ditangani dengan segera.
Sehubungan itu, PAMM Kedah menggesa kerajaan menilai semula keutamaan keselamatan sekolah dan menyediakan peruntukan khusus pemasangan CCTV dalam pelaksanaan Belanjawan 2027.
“Langkah pencegahan perlu diutamakan demi melindungi anak-anak negara daripada ancaman jenayah, sekali gus memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat untuk menuntut ilmu,”katanya
RENTAS7








Leave a Reply