25,000 himpun di Dataran Taxi Baling sambut malam ambang kemerdekaan

Dato' Dr Mustaffa tengah bergambar kenangan bersama Dato' Ir Dr Manaf ( Kiri) dalam program berkenaan

BALING -Pengerusi Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, menyifatkan sambutan kemerdekaan di Dataran Taxi Baling yang menghimpunkan kira-kira 25,000 orang sebagai bukti bahawa semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat masih sangat utuh.

Beliau berkata, kemeriahan sambutan itu bukan hanya untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan, tetapi menjadi ruang untuk rakyat daripada pelbagai latar belakang berkumpul dan menzahirkan rasa syukur atas nikmat keamanan serta kebebasan yang dikecapi hari ini.

“PAMM Kedah melihat kehadiran puluhan ribu rakyat pada hari ini sebagai satu perkembangan yang sangat positif. Ia menunjukkan rakyat masih menghargai sejarah perjuangan kemerdekaan dan memahami bahawa kemerdekaan bukan sesuatu yang datang dengan mudah,” katanya.

Menurut beliau, kehadiran bersama rakyat Baling pada sambutan berkenaan turut memberikan kesempatan untuk beliau melihat sendiri semangat perpaduan dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh masyarakat setempat.

Sambutan kemerdekaan tersebut telah dirasmikan oleh Dato’ Dr. Ir. Manaf Hanafi.

Dato’ Dr. Mustaffa bergambar kenangan bersama Ketua Polis Daerah Baling

Dato’ Dr Mustaffa turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan tersebut, khususnya pihak penganjur, agensi kerajaan, sukarelawan serta masyarakat Baling yang hadir memberikan sokongan.

Beliau turut menyambut baik kehadiran Ketua Polis Daerah Baling bersama anggota keselamatan yang membantu memastikan sambutan berlangsung dalam keadaan aman, teratur dan selamat.

“Keamanan yang kita nikmati hari ini tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang kekal tanpa usaha. Ia perlu dipelihara bersama oleh rakyat, kerajaan dan semua pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru generasi muda supaya menjadikan sambutan kemerdekaan sebagai kesempatan untuk mengenali sejarah negara, memahami pengorbanan generasi terdahulu dan membina masa depan Malaysia dengan penuh rasa tanggungjawab.

Katanya, kemerdekaan juga perlu diterjemahkan melalui kesungguhan membangunkan masyarakat, mempertahankan keharmonian, menghormati undang-undang serta memastikan negara terus berdiri teguh dengan jati diri dan identitinya sendiri.

“Jangan kita hanya merdeka pada nama, tetapi pada masa yang sama kehilangan jati diri, sejarah dan nilai yang menjadi asas pembentukan negara. Kemerdekaan mesti diisi dengan ilmu, perpaduan, integriti dan usaha membela kepentingan rakyat,” tegasnya.

Dato’ Dr Mustaffa berkata, PAMM Kedah akan terus menyokong usaha yang menyatukan masyarakat dan memperkukuhkan semangat patriotisme, khususnya dalam kalangan generasi muda, agar kecintaan terhadap negara terus subur dari satu generasi kepada generasi seterusnya.

Beliau berharap kemeriahan sambutan kemerdekaan di Baling pada tahun ini menjadi simbol bahawa rakyat masih bersatu dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara, selain terus menghargai pengorbanan para pejuang yang telah mewariskan sebuah negara merdeka kepada generasi hari ini.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.