ALOR SETAR -Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, menggesa kerajaan mempertingkatkan kawalan di sempadan perairan negara bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin yang boleh memberi implikasi terhadap keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, Malaysia perlu mengambil pendekatan yang lebih tegas dalam mengawal pintu masuk negara dengan memperkukuhkan rondaan laut, meningkatkan keupayaan penguatkuasaan serta menggunakan teknologi pemantauan yang lebih canggih bagi mengesan sebarang cubaan pencerobohan sempadan.
Beliau turut mencadangkan agar Parlimen meneliti keperluan memperketatkan undang-undang berkaitan pencerobohan sempadan dan kemasukan haram ke negara ini supaya menjadi pengajaran serta pencegahan kepada mana-mana pihak yang cuba melanggar kedaulatan negara.
Selain itu, Dato’ Dr Mustaffa Idrus mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pembinaan penempatan khas berpengawasan tinggi di pulau-pulau tertentu bagi menempatkan individu yang memasuki negara secara tidak sah sementara menunggu proses dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.
Menurut beliau, penempatan khas tersebut hendaklah dikawal ketat oleh agensi keselamatan serta dilengkapi kemudahan asas yang mencukupi bagi memastikan aspek keselamatan negara dan pengurusan pendatang dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik.
Beliau turut menggesa kerajaan memperkukuhkan penguatkuasaan di perairan negara dengan memberi kuasa yang mencukupi kepada agensi keselamatan untuk memintas, menahan dan mengusir mana-mana kapal yang menceroboh perairan Malaysia mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur operasi yang ditetapkan.
“Malaysia sebuah negara berdaulat yang berhak menentukan dasar keselamatan dan imigresennya sendiri. Sebarang kemasukan ke negara ini mestilah melalui saluran yang sah dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Kedaulatan sempadan negara tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan,” katanya hari ini.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil langkah yang seimbang antara menjaga keselamatan negara, menguatkuasakan undang-undang dan memastikan segala tindakan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya lagi, isu kemasukan pendatang asing tanpa izin bukan sahaja melibatkan aspek kemanusiaan, malah turut memberi kesan kepada keselamatan, peluang pekerjaan, kemudahan awam dan kestabilan sosial sekiranya tidak ditangani secara berkesan.
Oleh itu, satu dasar yang lebih tegas dan menyeluruh perlu dirangka demi menjaga kepentingan rakyat serta kedaulatan negara.
End








Leave a Reply