KUALA LUMPUR – Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM), Dato’ Mustaffa Idrus menyatakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan kes penderaan kanak-kanak di Malaysia dan menggesa kerajaan segera mengambil tindakan tegas serta menyeluruh bagi membendung gejala menyayat hati ini.
Beliau merujuk kepada statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang merekodkan sebanyak 2,240 kes penderaan setakat Ogos 2024, dengan penderaan seksual mencatat jumlah tertinggi iaitu 1,260 kes, diikuti penderaan fizikal sebanyak 897 kes dan penderaan emosi sebanyak 83 kes.
Lebih membimbangkan, sebanyak 354 kes penderaan kanak-kanak yang membawa kepada kematian dilaporkan dalam tempoh lima tahun sehingga 2024.
“Ini bukan lagi angka. Ini adalah isyarat jelas bahawa kita sedang berdepan krisis sosial yang parah. Kegagalan menangani isu ini secara serius hanya akan membawa lebih banyak nyawa tidak berdosa menjadi mangsa,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas insiden menyayat hati membabitkan kematian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan di Cheras yang disyaki menjadi mangsa dera berpanjangan, beliau menyifatkannya sebagai bukti kegagalan sistem perlindungan terhadap kanak-kanak.
Hasil bedah siasat yang menunjukkan kecederaan di seluruh tubuh mangsa menimbulkan persoalan besar mengenai tahap pengawasan dan kepercayaan yang diberikan kepada penjaga.
Lebih memilukan, katanya, kes kematian bayi berusia empat bulan di sebuah taska haram di Kuala Langat mendedahkan pula kelemahan dalam aspek penguatkuasaan dan pemantauan taska yang tidak berdaftar.
“Kerajaan tidak boleh memandang ringan isu ini. Kita perlu memperketatkan pelesenan dan pemantauan terhadap pusat jagaan kanak-kanak. Mana-mana individu atau premis yang tidak memenuhi piawaian keselamatan harus dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Beliau juga menekankan pentingnya kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, NGO, institusi agama dan komuniti setempat dalam membentuk jaringan perlindungan yang kukuh bagi membela nasib golongan kanak-kanak, khususnya yang terdedah kepada risiko penderaan.
“Kita perlu membina sistem yang bukan sahaja menghukum pesalah, tetapi juga mencegah penderaan daripada berlaku sejak awal. Setiap anak kecil adalah amanah, dan setiap penderaan yang berlaku adalah kegagalan kita sebagai masyarakat,” ujarnya lagi dengan nada tegas.
Dato’ Mustaffa menutup kenyataan dengan menyeru agar semua pihak tidak lagi menangguhkan usaha pembaharuan dalam undang-undang dan dasar berkaitan perlindungan kanak-kanak, demi masa depan generasi yang akan datang.
RENTAS7








Leave a Reply