KUALA LUMPUR– Pangkalan Data Biodiversiti Malaysia menerusi Sistem Maklumat Biodiversiti Malaysia (MyBIS) menerima anugerah Emas (TempatPertama) sebagai Mekanisme Pusat Maklumat Kebangsaan (CHM) terbaik di Persidangan Parti-parti ke-16 kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD COP16) di Cali, Colombia pada 31 Oktober 2024.
Anugerah ini juga merupakan pencapaian empat (4) kali berturut-turut di COP CBD iaitu COP13, COP14, COP15 dan kini COP16.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menerima anugerah tersebut daripada Setiausaha Eksekutif CBD, AstridSchomaker.
Beliau menyeru supaya MyBIS dimanfaatkan sepenuhnya dalam mengukuhkan usaha memulihara biodiversiti negara.
Sistem Maklumat Biodiversiti Malaysia (MyBIS) merupakan CHM yang dibangunkan sebagai pangkalan data biodiversiti kebangsaan sejak tahun 2016.
Sehingga kini, MyBIS mengandungi lebih daripada 1.2 juta rekod data merangkumi profil spesies, rekod spesimen, toksinologi, kawasan perlindungan, direktori pakar, bahan rujukan dan penerbitan.
Pembangunan CHM merupakan salah satu keperluan di bawah CBD sebagai platform untuk meningkatkan kerjasama global dan jaringan informasi mengenai biodiversiti. Menerusi anugerah CHM, ia merupakan pengiktirafan daripada CBD kepada negara-negara parti yang menunjukkan pencapaian yang paling signifikan dalam membangunkan CHM di peringkat nasional.
Dalam perkembangan lain, Nik Nazmi telah menyampaikan kenyataan negara pada Sesi Plenari Mesyuarat Peringkat Menteri (High-Level Segment) yang berlangsung selama dua (2) hari dari 29 hingga 30 Oktober 2024.
Beliau menekankan komitmen Malaysia dalam menguruskan biodiversiti secara lestari.
“Ini dibuktikan apabila Malaysia merupakan antara negara pertama yang mengintegrasi Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework (KMGBF) ke dalam Pelan Tindakan dan Strategi Biodiversiti Kebangsaan (NBSAP) iaitu Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 (DKBK) melalui pendekatan senegara dan keseluruhan masyarakat (whole-of-government and whole-of-society),”katanya.
Jelasnya, Malaysia menyatakan keazaman untuk melaksanakan DKBK dengan proaktif melalui kerjasama strategik dengan sektor swasta dalam mengarusperdanakan biodiversiti serta mengiktiraf sumbangan signifikan masyarakat pribumi dan tempatan (IPLCs) sebagai penjaga biodiversiti dan rakan kongsi dalam pemuliharaan biodiversiti.
“Ini termasuk melalui Program Rondaan dan Perlindungan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme – BP3) serta pendokumentasian dan perlindungan pengetahuan tradisi, inovasi dan amalan IPLCs melalui kerangka akses dan perkongsian faedah (Access And Benefit Sharing – ABS).
Katanya lagi, sungguhpun Malaysia mengiktiraf sokongan yang diterima melalui dana biodiversiti global ke arah pelaksanaan NBSAP, beliau menegaskan pendirian Malaysia mengenai kepentingan untuk mendapatkan sumber pembiayaan yang mencukupi dan mudah diakses, pemindahan kapasiti dan teknologi untuk menyokong pelaksanaan KMGBF selari dengan prinsip Common but Differentiated Responsibilities (CBDR).
Dalam hubungan ini, Nik Nazmi turut mempersoalkan sikap negara-negara kaya yang boleh membelanjakan wang sehingga bertrilion untuk peperangan dan konflik tetapi tidak konsisten dalam memberikan bantuan kepada negara-negara megadiverse yang menyediakan perkhidmatan ekosistem kepada planet.
“Komitmen Malaysia juga terbukti apabila baru-baru ini Malaysia diberi pengiktirafan sebagai antara 13 negara rakan yang ditambah secararasmi ke dalam BRICS seterusnya membuka peluang negara untuk meningkatkan perdagangan dan hubungan dua hala antara negara anggota yang akan membuka ruang kerjasama pemuliharaan biodiversiti dengan lebih terangkum,”katanya.
RENTAS7








Leave a Reply