Tangguh persekolahan demi jaga kakak

BALING– Demi menjaga kakak yang terlantar sakit, seorang adik sanggup berkorban menangguhkan persekolahannya sepanjang tahun ini.

Pengorbanan itu dilakukan Nurul Fazliana Che Bi,15, dari Kampung Bukit Hijau bagi mengurus sepenuhnya kakaknya, Nurul Syahira Che Bi,18.

(Fazliana kanan dan Syahira kiri gambar atas)

Nurul Syahira patah kaki kanan akibat kemalangan jalan raya pada Oktober tahun lalu.

Nurul Fazliana berkata, dia terpaksa menangguhkan persekolahan sejak Februari memandangkan ahli keluarga lain memikul tanggungjawab mencari rezeki.

“Abang sulung (24 tahun) bekerja di kedai makan, abang kedua (21 tahun) bekerja sebagai pemandu lori. Mak pula tukang masak di sebuah kedai makan.

“Adik keempat bersekolah darjah lima dan paling bongsu hantar kepada pengasuh, jadi tiada siapa di rumah,”katanya semalam.

Selain menguruskan makan dan minum kakak di rumah, dia turut menemani kakak ke hospital yang perlu mendapat rawatan setiap minggu.

“Setiap minggu abang kedua akan balik dan bantu hantar kakak ke hospital,”katanya yang telah kematian ayah pada tahun lalu.

Fazliana yang merupakan anak ketiga berharap dapat meneruskan persekolahan seperti biasa pada tahun depan.

Manakala, Nurul Syahirah berkata, dirinya ditimpa kemalangan pada Oktober tahun lalu sewaktu menaiki motosikal untuk ke kelas tambahan.

“Disebabkan itu, saya terpaksa menjalani peperiksaan di hospital,”katanya.

Bagi memastikan keadaan sebenar keluarga tersebut, Rentas7 menemui Imam Masjid As-Syakirin Kampung Batu 7, Ilyas Mat Nor.

Beliau berkata, enam beradik berkenaan bersama ibu mereka hidup susah selepas kematian ayah.

Menurutnya, selain dua abang yang membantu, ibu mereka turut bekerja keras menanggung pendapatan keluarga.

Difahamkan, keluarga ini dibantu jabatan berkaitan dan Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kupang Brigadier (B) Datuk Najmi Ahmad menziarahi dua beradik berkenaan.

Najmi Ahmad (tengah), Ilyas dari kanan dan Mohd Sabri kiri

Untuk bantuan, orang ramai boleh hubungi pegawai Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Kupang, Mohd Sabri Bakar di talian 011-10667433.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.