Portal SPRM dalam bahasa Mandarin undur ke belakang

Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Negeri Kedah menyifatkan portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam bahasa Mandarin sebagai undur ke belakang.

Ketua Penyelarasnya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, tindakan SPRM melancarkan portal dalam bahasa Mandarin tidak sepatutnya berlaku.

“Kami PUTRA Kedah senada dengan Naib Presiden PUTRA, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz bahawa tindakan SPRM sebagai agensi kerajaan menggunakan bahasa selain Bahasa Melayu ialah tidak berpelembagaan dan bertentangan dengan dasar kerajaan.

“SPRM sebagai agensi kerajaan wajib menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai mana termaktub dalam Perkara 152 Persekutuan Perlembagaan di baca bersama dengan Seksyen 2 Bahasa Kebangsaan 1963/67,”katanya hari ini.

Beliau berkata, penggunaan bahasa Mandarin akan meluaskan jurang antara kaum yang akhirnya merugikan bahasa anak pribumi sendiri.

“Cukuplah pihak DAP mahu memperjuangkan sekolah vernakular. Janganlah kita pula membuka satu lagi ruang kepada mereka.

“Jika Bahasa Melayu terus diketepikan, bahasa ini tidak mustahil akan diketepikan dan dipinggirkan kelak,”katanya.

Justeru itu Mustaffa berkata, PUTRA kedah menuntut SPRM menarik balik penggunaan bahasa Mandarin dalam portal berkenaan dengan segera.

“Jangan berlengah-lengah lagi, lakukan sekarang demi hormati penduduk pribumi,”katanya.

Media melaporkan SPRM hari ini melancarkan portal bahasa Mandarin bertujuan mememnuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat berkaitan pencegahan rasuah dan yang berkaitan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.