pesawat Bombardier CL 415 bantu padam kebakaran Hutan simpan

Dalam operasi ini, sejumlah 60,000 liter air digugurkan ke kawasan kebakaran dari udara.

SUBANG– Operasi memadam kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan hari ini dibantu pesawat Bombardier CL 415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, dalam operasi itu, sejumlah 60,000 liter air digugurkan ke kawasan kebakaran dari udara.

Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan pada jam 9.20 pagi dengan sumber air diambil di perairan Tanjung Sepat dengan 10 kali sedutan.

” Pesawat amfibia ini diatur gerak atas keperluan yang kritikal dan sangat diperlukan bagi membantu memadam kebakaran di kawasan tersebut berikutan kesukaran laluan untuk diakses melalui jalan darat.

“Bahagian Operasi Udara (BOU) menghantar dua set pasukan penerbang yang terdiri dari juruterbang dan anak kapal bagi menyertai operasi pemadaman kebakaran itu,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua sesi penerbangan iaitu pada pagi dan petang dilakukan dalam misi ini dengan operasi pemadaman mengambil masa selama dua jam.

“Hasil pemerhatian, mendapati hampir 90 peratus kawasan yang ditugaskan kepada Maritim Malaysia telah berjaya dipadamkan”katanya.

Terdahulu, pesawat amfibia itu diterbangkan oleh Leftenan Komander Maritim Yusni Sari bersama empat anak kapal berlepas dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).

Rentas7.com/ Foto: APMM

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.