ALOR SETAR -Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus, menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memandang isu pembulian sebagai ancaman besar kepada keselamatan negara dan menjadikannya agenda mustahak nasional.
Beliau berkata, gelombang kes pembulian yang berlaku di seluruh negara kini berada pada tahap membimbangkan, termasuk insiden tragis membabitkan pelajar sekolah menengah, Allahyarhamah Zara Qairina, yang menggemparkan rakyat Malaysia.
“Kita tidak boleh lagi berlengah. Setiap kes pembulian adalah tamparan kepada sistem pendidikan dan kegagalan kita melindungi anak-anak. Tragedi seperti yang menimpa adik Zara Qairina tidak boleh berulang,” tegasnya.
Menurut Datuk Mustaffa, KPM perlu melaksanakan tindakan menyeluruh daripada penguatkuasaan disiplin, pemantauan berterusan, sehinggalah kepada pendidikan nilai dan penglibatan ibu bapa secara langsung.
“Pelaku mesti dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi. Dalam masa sama, mangsa memerlukan perlindungan, rawatan, dan pemulihan menyeluruh,” katanya.
Beliau mengesyorkan penubuhan Pasukan Khas Anti-Buli Sekolah di seluruh negara yang terdiri daripada guru disiplin, kaunselor, wakil PIBG, pegawai keselamatan, dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan setiap kes dikesan dan diambil tindakan segera.
Datuk Mustaffa turut menekankan keperluan platform aduan yang selamat dan sulit termasuk saluran dalam talian bagi membolehkan pelajar atau saksi membuat laporan tanpa rasa takut.
“Isyaratnya mesti jelas. Tiada toleransi terhadap pembulian sama ada fizikal, mental atau siber, semua perlu dihukum setimpal,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa usaha membanteras pembulian tidak boleh bergantung kepada reaksi selepas kes tular tetapi mesti menjadi dasar pendidikan negara yang berterusan.
“Anak-anak ialah aset negara. Kita wajib pastikan mereka membesar dalam persekitaran selamat dan berakhlak. Menghapuskan pembulian bermakna kita melindungi masa depan Malaysia,” katanya.
RENTAS7








Leave a Reply