Puisi Dr Maza “makan dalam”, tuju orang politik

Dr. Maza

KUALA LUMPUR-Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menitipkan puisi ‘tersirat’ susulan pelaksanaan tempoh darurat hingga Ogos 2021.

Mohd Asri yang dikenali sebagai Dr Maza dipercayai menujukan puisi bertajuk darurat itu kepada ahli politik baik kerajaaan mahupun pembangkang.

Rangkap pertama puisi berkenaan menyentuh perihal individu yang mengharapkan bebas daripada kes disabitkan mahkamah tidak kesampaian kerana pelaksanaan perintah darurat.

Bagi rangkap kedua, puisi tersebut membidas golongan yang cuba mengambil kesempatan untuk menjatuhkan kerajaan melalui janji dibuat, juga tidak kesampaian.

Manakala maksud rangkap puisi ketiga berkaitan kesusahan rakyat angkara perebutan kuasa ahli politik.

Berikut puisi dinukilkan Dr. Maza

Puisi Darurat..

Yang mengharapkan ‘terlepas’,
mungkin terkandas..
Dalam tempoh yang terbatas
mungkinkah kau diberkas?

Yang janji untuk membebas,
Sebagai bayaran balas
Jika dapat tempat teratas
Harapannya mungkin terhempas

Kami, terus berhempas pulas
Menghadap wabak yang ganas
Kalian, terus berlumba ke atas
Biar apa pun bala melintas

Puisi ringkas tetapi ‘makan dalam’ itu mendapat ribuan tanda suka dan komen daripada netizen.

Masing-masing membuat andaian terhadap maksud puisi tersebut.

Namun, jika diteliti makna puisi tersebut seolah-olah mengkritik pemimpin UMNO yang mempunyai kes mahkamah tetapi mahu mengelak daripada diadili dengan mendesak diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) segera.

Puisi tersebut dilihat membidas ahli politik yang kononnya telus dan berintigriti, namun dalam diam mengambil kesempatan menarik sokongan kelompok Ahli Parlimen yang disabit kes di mahkamah untuk membentuk kerajaan baru.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.