Padang Tok Syeikh- Laungan azan pertama Kedah Tua

Kawasan Padang Tok Syeikh

GURUN-Bagi anda yang berkunjung ke Gunung Jerai, pastikan anda sampai ke Padang Tok Syeikh.

Kunjungan anda tidak akan lengkap sekiranya tidak menjejaki ke sini.

Tok Syeik atau nama sebenarnya Syeikh Abdullah Al Qumairi merupakan pendakwah dari tanah Arab.

Beliau merupakan individu penting mengIslamkan Sultan Kedah ke-9, Sultan Muzaffar Shah pada 1136 Masihi.

Menerusi maklumat papan tanda disediakan Urusetia Jawatankuasa Promosi dan pembangunan Jerai Geopark, padang Tok Syeikh ini telah wujud jutaan tahun lamanya.

Padang Tok Syeikh (~1,150 m) dibentuk oleh lapisan bantuan sendimen berusia 550 juta tahun lampau (Kambria) di lautan cetek.

Pemendapan sedimen lapisan demi lapisan menyebabkan ia telah ditimbus di bawah permukaan bumi dan bertukar menjadi batu.

Proses rejahan granit pada 220 tahun lampau telah mengangkat batuan ini ke kedudukan sekarang.

Batuan di padang Tok Syeikh mewakili nilai warisan yang tinggi mewakili batu tertua di tanah besar Semenanjung Malaysia.

Menurut makluman itu lagi, di kawasan ini jugalah dipercayai azan pertama dilaungkan di mana masyarakat Kedah Tua memeluk agama Islam pada kurun ke-12 Masihi.

Dari kawasan yang tinggi ini juga menyajikan anda panorama yang indah di depan mata.

Antaranya pengunjung dapat melihat keindahan Pulau Bunting serta sawah padi yang terbentang luas, menjadikan anda seolah-olah seorang “Raja Kedah Tua” yang sedang melihat rakyat jelata dari atas puncak gunung.

Banyak peninggalan sejarah di atas Gunung Jerai yang masih menjadi misteri hingga ke hari ini.

Gunung Jerai yang mempunyai ketinggian 1217 meter juga bersuhu antara 19 hingga 24 darjah celcius dan sesuai dijadikan lokasi percutian bersama keluarga.

Ia mempunyai kemudahan chalet, restoran, surau, tapak perkhemahan, muzium dan pelbagai lagi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.