Warga asing langgar kuarantin ditangkap

Semua warga asing berkenaan telah ditahan polis

KOTA TINGGI– Seramai 14 warga asing yang sepatutnya menjalani kuarantin bertindak berkeliaran di pusat bandar di sini semalam.

Bagaimanapun kesemua warga asing berusia 22 hingga 34 tahun itu telah ditahan polis semalam.

Polis Kota Tinggi dalam kenyataan berkata, mereka terdiri daripada 12 warga Nepal dan dua lagi individu warga India dan Bangladesh.

“Hasil rondaan gabungan dari Pasukan Task Force Covid-19, Balai Polis Kota Tinggi dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah berjaya menahan seramai 14 orang warga asing tersebut di beberapa tempat di sekitar bandar Kota Tinggi.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka menunggu giliran untuk dipotong gelang kuarantin namun perbuatan mereka berkeliaran sebelum tamat arahan perintah kuarantin adalah merupakan satu kesalahan,”kata kenyataan di Facebook rasmi Polis Kota Tinggi.

Menurutnya, mereka ditangkap dan disiasat dibawah Sek.269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan dengan cuai dan berbahaya yang boleh merebakkan penyakit berjangkit.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.