NFABD dedah sebab K Rajagobal dilantik

Pengiran Matusin Pengiran Matasan dari kanan

KUALA LUMPUR– Sentuhan Datuk K Rajagobal membimbing Malaysia menjuarai Sukan SEA pada 2009 dan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean ( AFF) 2010 ditagih untuk membawa Brunei melangkah jauh.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD), Pengiran Matusin Pengiran Matasan berkata, pencapaian K Rajagobal dalam dua kejohanan itu mendorong NFABD melantik K Rajagobal sebagai ketua jurulatih skuad Brunei bagi tempoh dua tahun.

“Pencapaian ini mendorong NFABD untuk memberi pertimbangan serius kepada pencapaian K Rajagobal. Selain itu, pemohon lain turut mempunyai pencapaian yang serupa tetapi belum mencapai peringkat juara.

Adalah menjadi harapan NFABD dan peminat bola sepak negara di negara ini agar K Rajagobal akan membawa pasukan kebangsaan Brunei Darussalam ke peringkat lebih tinggi,”katanya yang dipetik daripada laporan media Brunei.

Beliau berkata, keputusan melantik K Rajagobal bukan suatu yang mudah kerana NFABD turut menerima permohonan dari Jerman, Serbia dan beberapa permohonan dari rantau Asia Tenggara.

“Keputusan dibuat berdasarkan beberapa siri dialog setelah mempertimbangkan aspek teknikal dan kewangan,”katanya.

Jelasnya, bekas ketua jurulatih kebangsaan Malaysia itu bukan asing lagi bagi pasukan Brunei kerana pasukan negaranya pernah bermain di Piala Malaysia.

Artikel berkaitan:

http://rentas7.com/tahniah-datuk-k-rajagobal-sah-bimbing-brunei/

Rentas7.com/ Foto: MediaPermata

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.