Nelayan Vietnam mengganas, APMM lepasakan tembakan

KM Satria mengesan dua bot nelayan Vietnam dalam kejadian kelmarin

KUANTAN-Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arah bot nelayan Vietnam selepas diserang dengan parang dan objek keras.

Situasi cemas itu berlaku ketika anggota APMM melakukan pemeriksaan terhadap 22 nelayan negara terbabit dalam satu kejadian kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, dua bot nelayan sebelum itu dikesan menceroboh perairan negara.

Menurutnya, bot asing itu dikesan pada jam 5.25 pagi di sekitar kedudukan 80 batu nautika tenggara Tanjung Gelang Pahang.

“Kapal Maritim (KM) Satria yang sedang melaksanakan OP Kuda Laut telah mengesan dua bot nelayan asing Vietnam sedang menceroboh perairan negara di sekitar kedudukan 80 batu nautika tenggara Tanjung Gelang, Pahang lebih kurang jam 5.25 pagi semalam dan mengambil masa hampir tiga jam bagi menahan bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua bot itu memecut laju selepas menyedari kehadiran KM Satria namun dapat dipintas bot RHIB.

“KM Satria bertindak menurunkan bot RHIB untuk memintas dan menjalankan pemeriksaan dengan merapat ke arah sebuah bot dengan nombor pendaftaran KG92641TS.

“Ketika sedang merapat dan dalam usaha memanjat bot suspek, pasukan geledah diserang secara tiba-tiba oleh beberapa awak-awak yang bertindak agresif dengan bersenjatakan parang serta objek keras dan tajam bagi menghalang daripada diperiksa,” katanya.

Beliau berkata, tindakan agresif dan ganas nelayan asing itu telah mengancam keselamatan nyawa pasukan keselamatan menyebabkan beberapa das tembakan amaran dilepaskan ke udara.

Namun katanya, mereka meneruskan tindakan ganas membuatkan anggota penguatkuasa yang berada dalam situasi tegang dan kritikal itu tiada pilihan melainkan melepaskan tembakan amaran ke arah bot.

“Ia bagi menghentikan tindakan ganas nelayan asing serta mempertahankan diri dan aset sesuai dengan ketetapan prosedur operasi standard ( SOP) dengan penggunaan kekerasan secara minima.

“Namun serpihan tembakan terkena dan mencederakan dua awak-awak dan seorang tekong bot berikutan keadaan laut yang bergelora,” katanya.

Amran berkata, bot serta 19 awak-awak akhirnya berjaya ditahan dan ditangkap sekitar jam 8.55 pagi dengan keseluruhan hasil bernilai RM1.5 juta membabitkan sebuah bot dan hasil laut negara.

“Manakala tiga nelayan asing yang cedera telah dibawa menaiki bot Kilat 49 pada 11.45 malam dan tiba di Jeti PPM Kuantan pada 12.15 tengah malam seterusnya dibawa oleh ambulans bagi menerima rawatan di hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

“Bot yang ditahan beserta kesemua awak-awak diiring masuk oleh KM Satria dan tiba di jeti Pangkalan Maritim Kemaman Terengganu lebih kurang jam 12 tengah hari,” katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan menyiasat dan mendakwa kru di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda sehingga RM6 juta ke atas tekong dan RM600,000 ke atas awak-awak kerana tidak memiliki sebarang permit untuk beroperasi di perairan Malaysia.

Serta Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) yang membawa denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam sebatan kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.