ALOR SETAR-Permansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah ( UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga ( PT3) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ( KPM) dilihat bakal merencatkan masa depan murid dan pelajar khususnya dalam kalangan bangsa Melayu.
Pengerusi Angkatan Masyarakat Melayu ( PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Mustaffa Idrus berkata, dua sistem peperiksaan ini tidak sepatutnya diganggu, kerana kedua-duanya peperiksaan yang banyak diduki oleh kaum Melayu.
“Satu kesilapan besar dilakukan oleh pihak kementerian apabila dua peperiksaan penting dimansuhkan.
“Ketiadaan dua elemen penting ini akan mengurangkan minat belajar dalam kalangan murid dan pelajar, satu sudut lagi kita boleh katakan tahap kebolehan murid cemerlang dan tidak cemerlang tidak lagi ditapis dalam menentukan hala tuju mereka sebelum dan selepas SPM,”katanya.
Beliau berkata, dua peperiksaan berkenaan dimansuhkan dengan alasan mengurangkan tekanan akademik kepada pelajar menggambarkan KPM tidak serius terhadap masalah penguasaan murid dan pelajar terhadap 3M ( Membaca, Menulis Mengira).
“Kita boleh lihat masalah penguasaan 3M berlaku di seluruh Malaysia. Terlalu ramai murid dan pelajar tidak menguasai ketiga-tiga kemahiran ini.
“Apabila peperiksaan UPSR dan PT3 pula dimansuhkan, ini sudah cukup menggelapkan masa depan anak-anak kita yang ramai daripadanya berbangsa Melayu,”katanya.
Mustafa berkata, PAMM menuntut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bertanggungjawab dalam setiap keputusan.
Menurutnya, menteri itu digesa tidak menjadi pak turut kepada penasihat yang boleh menghancurkan masa depan anak bangsa sendiri.
“Janganlah semuanya yang dituntut kita laksanakan. Sebagai pemimpin Melayu Islam, kita perlu mempunyai prinsip diri dan intergriti serta tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,”katanya
RENTAS7
Leave a Reply