Hospital Medan Tawau hampir beroperasi, bantu KKM rawat penduduk Sabah

Hospital Medan Tawau yang dalam proses untuk dibuka

KUALA LUMPUR– Hospital Medan Tawau yang akan digunakan bagi merawat pesakit bukan daripada kes COVID-19 akan memulakan operasinya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hospital berkenaan dijangka beroperasi pada 20 Oktober 2020 dan kini dalam fasa terakhir penyediaan.

“Terletak di dalam Dewan Kompleks Sukan Tawau, 5.8km dari Hospital Tawau, hospital ini disediakan untuk rawatan pesakit bukan COVID-19 yang merangkumi perkhidmatan perubatan am, pembedahan am, obstetrik & ginekologi, ortopedik dan perubatan kanak-kanak dari Hospital Tawau,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, untuk permulaan, hospital ini mempunyai kapasiti 100 katil dan dilengkapi dengan unit rawatan rapi dan dewan pembedahan.

“Dengan inisiatif ini, Hospital Tawau boleh memberi tumpuan kepada rawatan pesakit COVID-19 yang memerlukan penjagaan rapi (kategori 3 -5),”katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan KKM yang terlibat.

“Serta (kepada) pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi lain yang telah bertungkus lumus dari awal perbincangan dan pelaksanaan Hospital Medan Tawau. Kelak ia akan mula beroperasi,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.