Hasut dan putar belit, PAMM tuntut Ramasamy ditangkap

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Tindakan Ketua Menteri II, P Ramasamy menghasut rakyat kononnya kerajaan negeri membatalkan perayaan Thaipusam pada 28 Januari ini amat berbahaya kepada perpaduan kaum.

Ketua Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus berkata, perayaan itu bukan dibatalkan seperti mana kenyataan putar belit Ramasamy.

Menurutnya, Thaipusam pada tahun ini tidak diisytiharkan sebagai cuti peristiwa namun perayaan masih boleh disambut di mana saja tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

“Di sini tiada sekatan mahupun halangan buat pengganut Hindu merayakan Hari Thaipusam. Ia tidak dijadikan cuti peristiwa kerana angka positif COVID-19 seluruh negara semakin tinggi.

“Namun dengan kenyataan Ramasamy menuduh kerajaan negeri membatalkan perayaan Thaipusam, jelas ia satu tindakan provokasi dan ingin memecah belahkan kaum,” katanya.

Antara kenyataan Ramasamy dilaporkan Utusan Online pada 21 Januari ialah menyifatkan tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai melampau dan tidak masuk akal.

Selain itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan turut lantang menghentam kerajaan Kedah dengan menyifatkan keputusan membatalkan cuti umum berkenaan sebagai berat sebelah.

Mustaffa berkata, Ramasamy bersama pemimpin-pemimpin lain yang memutar belitkan fakta wajib ditangkap, disiasat dan didakwa.

“Ini bukan kali pertama dia mengeluarkan kenyataan yang rasis. Polis perlu bertindak segera,” katanya.

Pada 6 Februari 2020, di zaman Pakatan Harapan (PH), kerajaan negeri mengumumkan Hari Thaipusam tidak diisytiharkan sebagai cuti perristiwa kerana perayaan itu jatuh pada Sabtu.

Namun, tiada bantahan dibuat oleh pemimpin DAP mahupun MIC berkaitannya.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.