Malaysia turun dengan hampir wajah sebenar

KUALA LUMPUR- Malaysia bakal turun tanpa tujuh pemain yang terpalit skandal kewarganegaraan apabila melayani cabaran tuan rumah Laos yang sedia membuat kejutan ke atas skuad negara.

Aksi kedua-dua pasukan dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia di Stadium New Laos, Vientiane malam ini menjadi tumpuan seluruh dunia selepas persatuan bola sepak Malaysia (FAM) dikantoikan FIFA memalsukan dokumen pemain.

Berbekalkan barisan skuad lama, kemampuan sebenar Harimau Malaya bakal teruji sepenuhnya dalam perlawanan penting ini.

Laos yang memberikan fokus pembangunan kepada pemain-pemain muda sejak dua tahun kebelakangan ini mahu menggunakan peluang beraksi di gelanggang sendiri untuk memburu tiga mata penuh.

Tujuh pemain yang sebelum ini didakwa sebagai pemain warisan Malaysia telah digantung setahun dan didenda selepas FIFA mengesahkan mereka tidak mempunyai pertalian rasmi dengan Malaysia.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dikenakan denda sebanyak RM1.8 juta.

Lebih parah, dua kemenangan Malaysia ke atas Vietnam dan Nepal sebelum ini turut berisiko dipotong mata selepas didapati menurunkan pemain tidak layak.

FIFA memberikan tempoh tiga hari kepada FAM untuk mengemukakan rayuan bertulis, dan sekiranya gagal berbuat demikian, FAM perlu membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan Antarabangsa (CAS) bagi mempertahankan kedudukan Malaysia.

Sementara itu, FAM dan pihak-pihak mempunyai kaitan memilih merahsiakan banyak perkara berhubung isu sedang diperhati dan ditertawakan seluruh dunia saat ini.

Kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam yang dikhuatiri ditarik balik  juga membimbangkan penyokong Harimau Malaya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.