Malaysia tunjuk belang, benam Turkmenistan 3-1

Malaysia mengutip tiga mata penuh setelah menjinakkan Turkmenistan malam ini

KUALA LUMPUR– Semangat melawan luar biasa skuad kebangsaan diterjemahkan dengan kemenangan 3-1 ke atas Turkmenistan pada perlawanan pertama Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Skuad kebangsaan mempamerkan corak dimahukan Kim Pan-gon apabila mendominasi keseluruhan permainan selain tidak memberikan ruang besar kepada lawan untuk bergerak bebas.

Harimau Malaya yang beraksi di hadapan 50,000 penyokong membuka tirai jaringan menerusi rembatan kencang Safawi Rasid minit ke -11.

Memasuki minit ke-16 Faisal Halim yang tidak dikawal berjaya mengelecek seorang pertahanan lawan sebelum menjaringkan gol kedua ketika satu lawan satu dengan penjaga gol.

Akibat kesilapan, tuan rumah dihukum apabila Altymyrat Annadurdyyev merapatkan kedudukan 2-1.

Pemain itu mengambil peluang menjaringkan gol selepas bola gagal dikeluarkan Farizal Marlias dengan baik pada minit ke-38.

La’vere Corbin-Ong menutup malam gemilang Malaysia dengan menghadiahkan gol ketiga Malaysia.

Pemain pertahanan tinggi lampai itu membuat larian dalam kotak penalti hingga memperdayakan dua pertahanan pasukan pelawat sebelum melakukan rembatan padu.

Keputusan 3-1 kekal sehingga wisel permainan sekaligus memberikan tiga mata berharga kepada pasukan kebangsaan.

Pada aksi pembukaan Kumpulan E, Bahrain menang 2-0 ke atas Bangladesh.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.