Kisah disebalik 17 tahun dalam tirai besi

cof

ALOR SETAR– Pengalaman dipenjara selama 17 tahun oleh pemerintah Thailand suatu ketika dahulu masih meninggalkan kesan kepada kehidupan Baba Abdul Rahman Md Noh yang merupakan bekas Mudir Pondok An Najah Kampung Sungai Limau, Baling di sini.

Kini di usia 78 tahun, beliau banyak menghabiskan waktu bersendirian dengan menelaah kitab, membaca al-Quran serta berjemaah di masjid.

Berkongsi pengalaman pahit manis sebagai seorang guru, Abdul Rahman berkata, beliau menerima pendidikan awal di tanah kelahiran, Wilayah Patani Darussalam.

Menurutnya, beliau menghabiskan masa selama tujuh tahun mendalami ilmu agama di pondok seawal usia 18 tahun.

“Zaman itu kami tinggal di pondok halus (kecil) saja. Masak pun dalam pondok. Nak mandi guna air telaga,” katanya.

Baba Abdul Rahman

Selepas tamat pengajian pondok, Abdul Rahman berkata, beliau menyambung pengajian di Makkah selama 13 tahun.

“Ketika di Makkah saya berguru dengan Syeikh Abdul Qadir Al Mandili.

“Di sana saya ada bertemu Allahyarham Tuan Guru Salleh Musa (Madrasah Ar Rahmaniah Sik). Allahyarham menuntut ilmu lebih awal di sana,” katanya.

Pulang dari Makkah, Abdul Rahman kemudian menetap di Malaysia dan bertugas sebagai Mudir Pondok An Najah.

Pondok An Najah ditubuhkan pada Julai 1968 dan di awal penubuhannya hanya mempunyai satu blok bangunan separa kayu, sebuah surau dan beberapa pondok pelajar.

Hinggalah pada Mei tahun 2005 pondok itu ditukarkan kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. Sekarang ini dengan peningkatan pelajar dan guru, Sekolah Menengah Agama (SMA) An Najah antara sekolah unggul melahirkan murid cemerlang.

Abdul Rahman berkata, sebuah pondok lagi dibina dan diberi nama Madrasah Darul Saadah.
“Pondok ini diuruskan oleh anak saya, bilangan pelajar ada sekitar 20 orang ,”katanya.

Dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup

Pada tahun 1996 Abdul Rahman bersama tiga lagi rakan diburu kerajaan Thailand atas alasan terlibat kesalahan politik.

Oleh kerana beliau menetap di negara ini, Thailand memohon bantuan Malaysia untuk menangkapnya.

Abdul Rahman berkata, beliau ditangkap pada tahun tersebut oleh kerajaan Malaysia dan diserahkan kepada Thailand.

“Ketika itu saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan ditangkap ketika perjalanan sampai di Kuala Kangsar.

“Saya pada mulanya dipenjara di Bangkok kemudian di pindahkan ke Singgora dan terakhir dipenjara di Wilayah Yala,” katanya.

Menurutnya, Thailand menjatuhkan hukuman seumur hidup di atas kesalahan yang didakwa dilakukan beliau.

Abdul Rahman, berdasarkan hukuman dijatuhkan amat mustahil beliau dibebaskan namun kuasa ALLAH mengatasi segala-galanya apabila Thailand memberikan kebebasan pada tahun 2013.

“Thailand memberikan kebebasan atas alasan usia lanjut,” katanya.

Sembilan hari
tak makan nasi

Abdul Rahman berkata, matanya ditutup selama sembilan hari pertama dalam penjara.

“Pihak penjara sediakan nasi serta lauk daging tapi saya tak makan kerana bimbang ia daging babi. Nasi diambil semula apabila kita tak jamah daging itu,” katanya.

Beliau berkata, selepas tamat tempoh sembilan hari, tahanan politik diberikan makanan halal yang disediakan tukang masak beragama Islam.

Katanya, dalam penjara tahanan politik diasingkan dengan pesalah jenayah dan mereka tidak dipukul.

“Kami diletak di satu ruang khas, setiap bulan keluarga akan datang menziarahi di penjara,” katanya.

Kesan racun dalam badan

Ayah kepada sembilan anak ini berkata, beliau pernah dimasukkan ke dalam hospital penjara selama sebulan akibat diracun.

Katanya, kesan sampingan itu masih lagi dirasai hingga sekarang.

“Ketika hampir dibebaskan, saya dimasukkan ke hospital selama sebulan. Selama tempoh itu tak dapat bercakap, nak baca surah al-Fatihah pun tak boleh,” katanya.

Katanya, kesannya masih dirasai hingga sekarang walaupun beransur pulih.

“Percakapan sekarang ini jadi tak lancar dan ingatan juga sedikit terganggu. Saya dah tak mengajar, sekarang ini hanya baca kitab untuk amalan diri sendiri,” katanya.

Sementara itu penduduk Sungai Limau,  Mohd Zaid Ab Mokti, 31, berkata, Abdul Rahman sering datang 10 hingga 15 minit lebih awal ke masjid sebelum masuk waktu solat.

“Walaupun beliau seorang tok guru tapi amat mesra. Orang kampung sangat menghormatinya,”katanya.

Kreadit        

Dipetik daripada akhbar Sinar Harian dan GPS Bestari

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.