Kerajaan beri jaminan jaga kebajikan PDRM

Kebajikan anggota polis sentiasa menjadi keutamaan kerajaan

KUALA LUMPUR-Kebajikan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan kata
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, beliau memberikan jaminan bahawa kerajaan tetap prihatin melindungi kebajikan PDRM walaupun ekonomi negara berdepan situasi mencabar.

“Walaupun negara sedang berdepan dengan situasi ekonomi yang mencabar, saya memberi jaminan Kerajaan tetap prihatin dan komited untuk terus menjaga dan melindungi kebajikan warga PDRM serta memantapkan kesiapsiagaan pasukan,”katanya.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Perdana Menteri hadir pada sambutan berkenaan.

Muhyiddin berkata, walaupun dilangsungkan dalam skala sederhana, beliau dapat lihat keterujaan anggota PDRM meraikan sambutan itu.

Menurutnya, rasa bangga terserlah pada wajah para Sang Saka Biru yang hadir dan mereka yang terlibat dengan sambutan berkenaan.

“Selain bangga melihat keutuhan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana keberadaan mereka hari ini, saya juga mengambil peluang merakamkan terima kasih kepada seluruh warga PDRM atas segala khidmat dan pengorbanan demi mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

“Dalam usia yang kini menjangkau 214 tahun, PDRM telah melalui beberapa siri transformasi dan pembaharuan bagi memastikan ia kekal relevan mengikut peredaran zaman dan cabaran semasa yang semakin kompleks,”katanya.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.