JAS Melaka gempur tapak haram penyimpanan sisa toksik berbahaya

Pegawai JAS melakukan pencontohan buangan terjadual

MELAKA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka telah berjaya mengesan dan menyita tapak haram pembuangan sisa toksik dan bahan terjadual berbahaya di Jalan Pengkalan Perigi, Tanjung Kling, Melaka.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Putrajaya, Norlin Jaafar berkata, sisa toksik yang dikesan merupakan buangan terjadual enapcemar atau minyak yang disyaki dari loji penapisan minyak dengan kod SW314.

Bertindak hasil aduan orang ramai, beliau berkata, JAS Negeri Melaka telah menjalankan risikan dan intipan sejak 6 Oktober 2020 termasuk pemantauan dengan menggunakan dron.

“Pada 8 Oktober 2020 JAS Negeri Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) telah melaksanakan operasi bersepadu ke premis tersebut.

“Siasatan lanjut mendapati terdapat lebih 900 tong dram, 6 tangki intermediate bulk containers (IBC), 7 tong tercemar dan 5 buah tangki simpanan minyak yang disyaki mengandungi enapcemar minyak,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JAS juga akan menjalankan “finger printing” dan pengumpulan bahan bukti untuk menjejaki pihak yang bertanggungjawab bagi tujuan pendakwaan.

“Pasukan siasatan JAS Negeri Melaka telah menjalankan persampelan bahan buangan tersebut dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan itu.

“Pemantauan dron dan kualiti udara dilakukan dari masa ke semasa untuk
memastikan keadaan selamat di lokasi kejadian,”katanya.

Norlin berkata, pihak premis juga telah diarahkan untuk menjalankan pembersihan dan pelupusan buangan yang disyaki buangan terjadual setelah siasatan selesai dijalankan melalui Notis Arahan di bawah Seksyen 31(1)(g) & 37(1)(c) AKAS 1974.

Gambar keseluruhan kawasan gudang penyimpanan

Kertas siasatan sedang disediakan bagi pelbagai kesalahan di bawah Seksyen
34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara mandatori dan denda sehingga RM500,000.00.

“Saya ingin memberi amaran keras kepada semua pihak terutamanya pihak industri termasuk kontraktor pengangkut dan premis yang mengendalikan pengolahan dan pelupusan buangan terjadual supaya memastikan sisa toksik dan berbahaya diuruskan dengan sempurna dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

“JAS tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan ingin ditegaskan bahawa tindaka penguatkuasaan JAS akan terus diperhebatkan demi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

“JAS mengalu-alukan maklumat-maklumat yang tepat diberikan oleh orang awam bagi membolehkan JAS mengambil tindakan pantas dalam membanteras insiden pencemaran alam sekitar,”katanya.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dan
melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e´┐żaduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.