JAS gempur tapak haram pembuangan sisa toksik dan bahan terjadual

Sidang media Menteri Alam Sekitar dan Air

KLANG – 15 JULAI 2020: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah berjaya mengesan dan menyita tapak haram pembuangan sisa toksik dan bahan terjadual berbahaya.

Menteri Alam Sekitar, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tapak berkenaan dipercayai telah beroperasi lebih 3 bulan yang lalu iaitu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan dan intipan yang dijalankan selama sebulan termasuk pemantauan dengan menggunakan teknologi dron.

“Pada 14 Julai 2020, 40 anggota penguatkuasa yang terdiri 12 orang penguatkuasa JAS Selangor, 12 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 8 orang penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan 8 orang penguatkuasa daripada Pejabat Daerah dan Tanah Klang telah melakukan serbuan awal ke atas dua (2) lot tanah berkeluasan 2.5 ekar yang telah diuruskan operator haram.

YB Menteri KASA memeriksa salah sebuah tong dram di tapak pembuangan haram

“Pada pagi ini, siasatan lanjutan telah dijalankan dan dianggarkan terdapat lebih 1,000 tong drum dan jumbo bag yang disyaki mengandungi enapcemar minyak, enapcemar getah, buangan pigmen dan campuran buangan toksik dan berbahaya,”katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, JAS sedang membuat pensampelan ke atas bahan buangan tersebut untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan tersebut.

“JAS juga akan menjalankan finger printing dan pengumpulan bahan bukti untuk menjejaki pihak yang bertanggungjawab bagi tujuan pendakwaan.

Tong dram berisi bahan toksik

“Kertas siasatan sedang disediakan bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu Seksyen 16, Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 34A, Seksyen 34B dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara mandatori dan denda sehingga RM500,000,”katanya.

Pegawai JAS mengambil sampel bahan toksik

Tuan Ibrahim juga memberi amaran keras kepada pengusaha supaya lebih bertanggungjawab.

“Saya ingin memberi amaran keras kepada semua pihak terutamanya pengusaha industri supaya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sisa toksik dan berbahaya ini dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

“Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) tidak akan berkompromi dengan penjenayah alam sekitar dan ingin ditegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan KASA akan terus diperhebatkan demi menjamin kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,”katanya.

Dalam pada itu, KASA sedang melaksanakan perancangan pembangunan lima buah Kemudahan Rawatan Sisa Buangan Bersepadu (Integrated Waste Facilities) iaitu di Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Johor dan Sabah. Kajian cadangan kewangan, teknikal dan lokasi sedang dijalankan.

“Kemudahan ini bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber sisa termasuk buangan terjadual bagi memacu ekonomi kitaran (circular economy).

“Pendekatan holistik ini dijangka akan merancakkan lagi pelaksanaan konsep waste to wealth dan sisa yang lain dari pelbagai sumber supaya isu-isu berkaitan pembuangan haram sisa toksik dan penggunaan sumber boleh guna (recyclable) tidak berlaku kerana sisa ini boleh diguna semula dalam ekosistem ekonomi kitaran,”katanya.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.