Presiden Skuad Badar mahu pastikan syarikat benar hentikan Musang King

Azhar Mohamad

ALOR SETAR-Presiden Skuad Badar, Azhar Mohamad akan turun padang bagi memastikan aktiviti projek Musang King di Gunung Inas, Baling benar-benar tidak dijalankan lagi.

Azhar berkata, pelbagai laporan yang berkaitan diterimanya, justeru beliau mahu memastikan pihak pengusaha mematuhi arahan Menteri Besar Kedah yang mahu projek itu dihentikan.

“Saya akan turun sendiri bagi meninjau keadaan Tanah di Gunung Inas bagi memastikan adakah arahan Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) di patuhi agar projek Musang King dihentikan.

“Sebab saya mendapat laporan bermacam macam. Oleh itu pengesahan untuk membuktikan ianya kepatuhan kepada arahan Menteri Besar benar benar berlaku ataupun keingkaran,” katanya di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, bani tanah Jawi akan mempertahan baki tanah di Kedah.

Dalam masa itu, beliau mengingatkan orang Melayu supaya jangan menjadi barua di atas tanah sendiri.

Baru-baru ini tersebar video beberapa lelaki Cina di atas Gunung Inas.

Individu dalam video itu mendakwa seluas 30,000 ekar (12,140 hektar) tanah di Gunung Inas akan diusahakan tanaman musang king yang bakal menjadi ladang musang king terbesar di dunia.

Pada Julai tahun lalu sebaik kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Kedah, Sanusi mengarahkan pihak syarikat menghentikan  projek musang king  seluas 600 hektar.

Sanusi menuntut kawasan dijarah diganti dengan tanaman penutup bumi.

Rentas7.com

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.