Inspektor maut kemalangan jalan raya

KUANTAN-Konvoi Kursus Asas Menunggang Motosikal Berat Kelas B (KAMMB) bertukar tragedi apabila salah seorang pesertanya maut akibat kemalangan di KM 51, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan dekat sini, hari ini.

Difahamkan, KAMMB yang dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri di Muar Johor.

Media melaporkan mangsa, Inspektor Muhammad Hilmie Quzaimi Rosli,26, maut di lokasi kejadian akibat parah di kaki dan kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian pada 11.05 pagi itu melibatkan mangsa yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Trafik di Bachok Kelantan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa bergesel dengan motosikal di hadapannya yang ditunggangi jurulatih Maktab Teknik PDRM Bakri yang berpangkat Sarjan.

“Pergeselan itu menyebabkan motosikal mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar oleh kereta Perodua Kancil dari hadapan yang tidak sempat mengelak,”katanya yang dipetik daripada Bernama, hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta berusia 73 tahun dari Felda Chini 4 dan Sarjan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jenazah manga dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rentas7.com/Foto: Bernama

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.