Hadiah Bernilai Sehingga RM500,000 Bakal Jadi Rebutan

KUALA LUMPUR – Persaingan Malaysia Techlympics 2022 kini bermula dengan hadiah bernilai sehingga RM500,000
berpeluang untuk dimenangi.

Program ini merupakan salah satu inisiatif terbesar Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk
membudayakan minat di kalangan pelajar dan belia dalam bidang sains,
teknologi dan inovasi (STI).

Sehingga kini, seramai 40,000 rakyat Malaysia yang berusia di antara 7
hingga 30 tahun telah mendaftar untuk menyertai pelbagai jenis pertandingan dan sesi perkongsian STI yang akan diadakan sepanjang Malaysia Techlympics 2022 berlangsung.

Inisiatif yang diterajui oleh
MOSTI dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini
mensasarkan 1 juta pendaftaran peserta dan 2,000 idea STI yang
berpotensi untuk dikomersialkan.

Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin  Abu Hassan berkata, Malaysia Techlympics 2022 dirangka supaya bersifat inklusif agar lebih Lramai golongan sasar mendapat peluang untuk turut terlibat menghasilkan produk inovasi menggunakan pendekatan tidak formal.

“Melalui program ini, MOSTI ingin menyediakan peluang untuk bakat sedia
ada dalam menangani cabaran serta mencipta idea inovasi sejajar
dengan matlamat ke arah Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

“Sehubungan itu, pihak Kementerian telah menyusun pelbagai sesi
menarik bagi menyemarakkan lagi minat kanak-kanak, golongan remaja
dan belia terhadap bidang STI dengan lebih meluas,”katanya.

Menurutnya, beberapa inisiatif dirangka khusus bagi golongan guru agar dapat
memperluaskan penyebaran maklumat mengenai Malaysia Techlympics
2022.

Jelasnya, inisiatif itu menyasarkan penyertaan seramai 10,000 orang guru sepanjang bulan Mei ini.

“Para guru akan diberi kredit Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan Dan Kokurikulum (PAJSK) bagi penyertaan dalam Malaysia Techlympics 2022.

“Sehingga kini, sebanyak 50 siri jerayawara telah diadakan di seluruh
negara bagi memastikan projek amali, sesi forum pendek dan modul
lanjutan berasaskan projek dapatdisampaikan secara langsung kepada kumpulan komuniti B40, kawasan pedalaman termasuk orang asli dan golongan kurang upaya.

“Kementerian berhasrat untuk memperluaskan program jangkauan ini ke seluruh negara agar dapat menarik lebih ramai penyertaan dalam program ini sebagai salah satu usaha untuk
meningkatkan minat, kreativiti dan kemahiran inovasi serta mengenal
pasti potensi STI yang boleh diserlahkan,” ujar beliau.

Sebanyak 25 pertandingan berdasarkan lima (5) tema telah dirancang bermula April hingga November 2022.

Para pesaing akan menjalani pusingan kelayakan di peringkat sekolah, daerah, zon, negeri dan seterusnya ke pertandingan akhir di peringkat kebangsaan pada bulan November nanti.

Para pelajar dan belia akan didedahkan kepada pembelajaran berasaskan inkuiri dan berasaskan projek dalam bidang Sains, Kejuruteraan, Pengkomputeran dan Mikro-Komputer, Internet Kebendaan (IoT), Robotik, Dron, Matematik, Reka Bentuk Kreatif dan Animasi serta Percetakan dan Pembangunan Tiga Dimensi (3D).

Kebanyakan sesi diajar oleh golongan profesional, pengamal dan ahli akademik kerana Malaysia Techlympics 2022 memupuk budaya pembelajaran melangkaui bilik darjah.

Antara program utama yang akan dilaksanakan adalah seperti Kuiz
Superstar Sains, Sesi Tutorial Pengangkutan Masa Hadapan, Bengkel
Belajar Dengan Arduino, Webinar Teknologi Masa Depan: Pengaturcaraan Robotik Maya, simulasi Sains Penerbangan, Bengkel Matematik Praktikal untuk Pendidik, Webinar BYOD (Bina Reka Bentuk Anda Sendiri) dan mencipta animasi AR/VR.

Untuk maklumat lanjut, mendaftar minat dan menyertai pertandingan,
boleh layari www.techlympics.my.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.