“Guan Eng yakin memertabatkan kedaulatan undang undang”-Mohamad Sabu

Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR– Presiden Amanah Mohamad Sabu yakin Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melalui ujian itu dengan tabah.

Beliau berkata, bekas Guan Eng telah melalui berbagai halangan dan ujian apabila pernah ditahan ISA dalam usia 20-an.

Menurutnya, Guan Eng juga pernah dipenjarakan pada tahun 1997 serta beberapa kali lagi ditahan dalam pelbagai kes.

“Saya yakin saudara Lim Guan Eng tabah menghadapi segala bentuk ujian yang dikenakan kepada beliau dalam perjuangan politik yang beliau yakini untuk memertabatkan kedaulatan undang undang dan membina kemakmuran negara,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, pendakwaan terhadap beliau adalah suatu proses biasa dalam perjalanan sistem perundangan.

“Tetapi hari ini berlaku sesuatu yang meragukan apabila bekas Ketua Menteri Sabah yang didakwa dengan 46 tuduhan digugurkan kesnya serta merta tanpa dibicarakan.

“Ia menimbulkan suatu kehairanan terhadap prinsip The Rules of Law di Malaysia apabila berlaku pendakwaan terpilih,”katanya.

Menurutnya, generasi akan datang diharapkan berupaya menyelamatkan Malaysia dan kembali menegakkan kedaulatan undang undang dengan sebaiknya.

Guan Eng yang merupakan bekas Menteri Kewangan dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu ditahan SPRM malam semalam.

Beliau pada pagi tadi didakwa di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.