Gelar Mujahid Kafir, Amanah lapor polis

KUALA LUMPUR– Amanah Wilayah Persekutuan dan Terengganu membuat laporan polis berhubung status pemilik akaun yang menyelar pimpinan mereka dengan gelaran kafir.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, partinya memandang serius budaya mengkafirkan sesama umat Islam atau dikenali sebagai budaya takfiri.

Menurutnya, budaya berkenaan semakin menular dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini.

“Terbaru, seorang pemilik akaun Facebook telah memuat naik satu status mensasarkan Naib Presiden Amanah Datuk Seri Mujahid Rawa dengan menulis “Menteri Agama, berjiwa kafir”.

“Difahamkan dua laporan polis telah dibuat oleh AMANAH Wilayah Persekutuan dan Terengganu,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua laporan polis itu dipercayai dibuat terhadap pemimpin sebuah parti.

Pada 18 Januari lalu, individu terbabit memuat naik status mengkritik Mujahid di Facebook ekoran tindakan menteri terbabit mahu mengambil tindakan terhadap seorang pegawai yang mengeluarkan perkeliling mengharamkan murid-murid beragama Islam menyertai sambutan perayaan Ponggal di sekolah.

Tindakan Mujahid dikecam pelbagai pihak termasuk PUTRA

Mohamad berkata, budaya takfiri menyemai sikap dan pemikiran melampau sehingga boleh menjadi ancaman kepada negara.

“Amanah berpandangan budaya takfiri jika tidak dihentikan dengan segera, boleh mencemarkan imej Islam.

“Sekaligus memusnahkan keharmonian Malaysia seperti apa yang berlaku kepada negara Timur Tengah khususnya di Iraq dan Syria,”katanya.

Tegasnya, Amanah menggesa semua pihak memainkan peranan dalam mengekang budaya tidak sihat dan bercanggah dengan ajaran agama.

Katanya, laporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan, agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.