Demi rezeki halal, wanita jalan kaki hantar makanan

Solihah menumpangkan Adik Lin menghantar makanan ke rumah pelanggan

KULIM-Demi mencari rezeki yang halal, seorang wanita sanggup berjalan kaki dengan bekerja sebagai penghantar makanan.

Kisah wanita dikenali sebagai Adik Lin itu tular di media sosial dan meruntun hati netizen.

Menerusi status dimuat naik oleh pengguna Facebook bernama Solihah Md Radzi, dia terbaca kisah Adik Lin yang tiada kenderaan untuk berulang alik mencari rezeki.

Menurutnya, wanita berusia 22 tahun itu bekerja sebagai penghantar makanan di Food Panda akibat tekanan ekonomi di Facebook.

Tanpa disangka katanya, dia dan suami terserempak dengan Adik Lin pada waktu malam ketika keluar membeli makanan.

Dengan keadaan hujan katanya, wanita itu dilihat sedang dalam perjalanan menghantar makanan ke rumah pelanggan sambil menggalas beg Food Panda.

“Solihah jumpa dia dalam keadaan baju dia basah kuyup, nampak air mata dia macam menangis,” tulisnya.

Kongsi wanita itu, dia dan suami kemudian menumpangkan Adik Lin ke rumah pelanggan walaupun awalnya agak keberatan.

“Sepanjang dalam kereta, cuba berborak dengan adik Lin, bayangkan jam 11 pagi dia berjalan kaki dari Taman Seluang ke Giant dan seterusnya ke rumah-rumah customer (pelanggan) dia.

“Jam 8 malam dia akan stop (berhenti) dan balik. Sebelum tue (it) dia akan ke bank untuk bank in (masukkan) duit. Lepas bank in baru dia balik guna Grab Car.

“So, (jadi) lepas hantar makanan ke rumah customer, kami bawak dia ke bank. Dah selesai terus kami bawak dia beli makanan malam, katanya tak makan lagi. Dah tapau (bungkus) makanan kami tumpangkan dia hantar ke rumah Adik Lin,” katanya.

“Balik rumah sambil type (taip) posting nie rasa sebak sangat. Umur 22 tahun dia dah lalui kehidupan yang mcm ni untuk cari rezeki yang halal,” tulisnya sambil mendoakan kejayaan remaja itu.

Kisah Adik Lin mendapat perhatian sebuah syarikat yang membantu membelikan sebuah motosikal baru untuknya.

“Adik Lin tak perlu jalan lagi untuk hantar makanan. Kulim property ( Oriental Kedah Realty Sdn bhd ) telah menjejaki Adik Lin yang berumur 22 tahun dan telah menghadiahkan sebuah motosikal bernilai RM3800,” tulis syarikat itu di Facebook.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.