Bukan orang Melayu “bacul” tetapi kami tak percaya DAP sampai khiamat!

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Orang Melayu tidak sesekali takut kepada DAP seperti mana dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penyelaras Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, sebaliknya orang Melayu tidak mempercayai DAP dan tidak akan percaya kepada parti itu selamanya.

“Bukan takut tetapi orang Melayu sememangnya tidak percayakan DAP sampailah khiamat!

“Apabila kami tiada nanti, anak cucu dan cicit kami akan terus mempertahankan negara ini daripada cengkaman DAP,”katanya yang mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir.

Mustaffa berkata, pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan menampakkan kekurangan dan wajah sebenar DAP.

Katanya, pemimpin mereka menghina bangsa Melayu dan agama Islam tanpa menjaga hati umat Islam.

“Tun Dr Mahathir sudi menjadi hamba DAP demi kuasa dan kedudukan keluarganya bukannya kerana rakyat. Ia semakin jelas sejak beliau bekerjasama dengan DAP,”katanya.

Mustaffa berkata, pendirian orang Melayu dan PUTRA muktamad iaitu menolak DAP.

“Kami mencadangkan kerajaan supaya mengharamkan DAP yang dilihat mahu menghidupkan ideologi komunis dalam negara ini,”katanya.

Beliau berkata, DAP sebuah parti rasis yang bercadang menubuhkan Malaysia Malaysian.

Pada 12 Mei, Mahathir seperti disiarkan media melahirkan kekecewaan kepada bangsa Melayu kerana lebih takutkan DAP.

Pemimpin dua kali pernah menyandang jawatan Perdana Menteri itu juga mengakui orang Melayu tidak berjaya dalam bidang perniagaan dan perusahaan kerana banyak kelemahan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.