Lelaki tempatan bawa empat Etnik Rohingya ditangkap

Empat PATI berkenaan berjaya ditahan Maritim Selangor

KUALA LUMPUR-Empat etnik Rohingya yang dibawa masuk tekong warga tempatan secara haram dari Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) malam tadi.

Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 10 hingga 23 tahun.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Mohammad Rosli Kassim berkata, mereka ditahan dalam Op Benteng pada jam 10.15 malam selepas pihaknya menerima maklumat risikan.

“Serbuan dan tangkapan dilakukan berikutan maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan migran di perairan Pantai Morib, semasa pihak kami melaksanakan Op Benteng.

“Berikutan daripada itu, pihak kami telah mengesan sebuah bot pancung dipercayai dari Indonesia sedang menuju masuk ke Pantai Morib,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Bot Maritim segera bertindak menyerbu ke arah bot pancung tersebut dan berlaku aksi kejar buru sehingga ke pesisir pantai.

Namun katanya, bot suspek berjaya meloloskan diri menghala ke hutan paya.

“Cubaan mereka untuk melarikan diri gagal, apabila anggota peninjau di darat, telah terserempak dan menahan sebuah kenderaan Multipurpose Vehicle (MPV) Perodua Alza berwarna kelabu yang mencurigakan dan dipercayai telah keluar dari kawasan semak berhampiran pantai tersebut.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui tiga lelaki, seorang wanita serta seorang kanak- kanak perempuan disyaki baharu mendarat dari Pantai Morib berdasarkan pakaian yang basah dan berlumpur dari paras pinggang hingga ke kaki,”katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati empat etnik Rohingya merupakan pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UHNCR) yang dikeluarkan di Indonesia

“Hasil siasatan awal, adalah dipercayai PATI Rohingya itu telah mendarat di Acheh, Indonesia lebih kurang dua bulan yang lepas dan bergerak menggunakan jalan darat yang diuruskan oleh orang tengah untuk dibawa ke Bagan Si Api-Api, Indonesia sebelum diseludup keluar melalui jalan laut dengan menaiki bot pancung ke Selangor.

“Tekong darat dan empat warga Rohingya tersebut telah ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dan Akta ATIPSOM 2007 iaitu cubaan menyeludup masuk warga Rohingya,”katanya.

Empat PATI dan tekong berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Rentas7.com/ Foto: APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.