Bukan hanya Malaysia, negara maju luar turut pendekkan tempoh kuarantin

Tan Sri Dr. Noor Hisham

KUALA LUMPUR– Tempoh kuarantin akan dipendekkan dari 14 kepada 10 hari kepada pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia akan bermula esok selaras dengan situasi semasa COVID-19 di Malaysia dan laporan klinikal terkini dari seluruh dunia.

Menurutnya, langkah itu juga terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian yang dilaksanakan di pusat kuarantin yang diwartakan atau di tempat kediaman.

“Perubahan ini akan berkuat kuasa bermula dari 14 Disember 2020,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beberapa negara Eropah telah mengambil pendekatan seumpama itu.

“Negara-negara United Kingdom, Jerman dan Belgium telah menurunkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 10 hari.

“Manakala bagi negara Perancis pula telah mengambil tempoh masa kuarantin wajib selama 7 hari,”katanya.

Beliau berkata, semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati bahawa risiko jangkitan pasca-kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin.

“Kadar kebolehjangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan.

“Justeru itu, berdasarkan pelaksanaan tempoh kuarantin oleh negara-negara lain di dunia dan laporan saintifik klinikal semasa, tempoh masa perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat di Malaysia dikurangkan daripada tempoh 14 hari kepada 10 hari,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.