Putus diplomatik: semua kakitangan Korea Utara diarahkan keluar Malaysia

Laporan media berhubung Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia

KUALA LUMPUR– Semua kakitangan diplomatik dan tanggungan di Kedutaan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) di Kuala Lumpur diarahkan meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam dari hari ini.

Tindakan itu dilakukan selepas DPRK memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia amat kesal dengan DPRK yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

“Malaysia mengecam keputusan tersebut sebagai tidak ramah, tidak konstruktif serta tidak menghormati semangat saling menghormati dan hubungan baik sesama anggota masyarakat antarabangsa.

Kerajaan akan mengeluarkan perintah untuk semua staf diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan DPRK di Kuala Lumpur untuk meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam dari hari ini, 19 Mac 2021,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan tindakan DPRK memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Kementerian Luar Pyongyang dipetik berkata, tindakan itu sebagai tindak balas terhadap Malaysia yang mengekstradisi seorang rakyatnya ke Amerika Syarikat pada awal bulan ini.

Tindakan itu dianggap DPRK sebagai satu jenayah tidak boleh dimaafkan selain mendakwa Malaysia ditekan Amerika Syarikat.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.