Bergolak pilih Perdana Menteri, perpecahan PH gagal dikawal lagi

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Penolakan PKR terhadap cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri menggambarkan Pakatan Harapan (PH) dalam proses perpecahan lebih dasyat.

Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus berkata, penolakan tersebut ibarat keputusan muktamad daripada PKR bahawa Dr Mahathir tidak diperlukan dalam PH.

“Ini satu mesej jelas kepada Tun Mahathir supaya berehat daripada arena politik tanah air.

“Apabila PKR berterus terang menolak Tun Dr Mahathir, ia memberikan isyarat PH di ambang perpecahan yang lebih teruk setelah hanya mampu mentadbir negara selama 22 bulan,”katanya hari ini.

Beliau mendakwa, tiadanya kesepakatan memilih calon Perdana Menteri adalah disebabkan sikap gila kuasa Anwar dan Tun Mahathir.

“Malah kerana gilakan kuasa dan demi keluarganya, Tun Mahathir sanggup merayu pada Anwar untuk jawatan Perdana Menteri.

“Sudahlah, rehat sajalah. Perikatan Nasional (PN) lebih bagus. Selepas PN bubar Parlimen, biarlah rakyat tentukan kerajaan,”katanya.

Beliau berkata, setelah gagal mencapai konsensus walaupun bergelar pembangkang, pentadbiran negara akan hancur sekiranya PH mendapat peluang kedua memerintah.

“Ketika menjadi kerajaan, PH berpecah kerana perebutan kuasa dalaman. Kini apabila menjadi pembangkang pun tidak sebulu dan sekata.

“PKR menolak Tun Mahathir, tetapi Amanah dan DAP tidak mahukan Anwar. Mereka akan terus berebut jawatan,”katanya.

Semalam, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bersama Ahli Parlimen PKR memutuskan menolak Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan memilih Anwar Ibrahim.

Keputusan itu disusuli dengan kenyataan bersama DAP dan Amanah yang menyokong Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri kerana Anwar dijangka hanya menerima sokongan 96 Ahli Parlimen.

Tambah kenyataan Amanah dan DAP berkata, Presiden PKR itu gagal menarik sokongan Ahli Parlimen Gabungan Parti Serawak (GPS) dalam tempoh yang dipersetujui.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.