Malaysia bukan rumah Rohingya- PAMM gesa kerajaan bertindak

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu Malaysia (PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, menggesa kerajaan mengambil langkah lebih tegas terhadap isu pelarian Rohingya dengan menempatkan semula mereka ke negara ketiga atau negara yang bersedia menerima komuniti berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia tidak seharusnya menanggung beban pengurusan pelarian secara berpanjangan tanpa penyelesaian yang jelas, terutama ketika rakyat negara ini sendiri sedang berdepan pelbagai tekanan ekonomi dan sosial.

Menurutnya, kerajaan perlu berunding dengan agensi antarabangsa serta negara-negara yang mempunyai kapasiti lebih besar untuk menerima pelarian Rohingya bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani secara lebih berkesan.

“Malaysia telah menunjukkan sifat kemanusiaan yang tinggi dengan memberi perlindungan kepada pelarian yang melarikan diri daripada konflik dan penindasan.

” Namun, keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa pelan penyelesaian jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa peningkatan jumlah pelarian Rohingya di negara ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat berkaitan peluang pekerjaan, penggunaan kemudahan awam, keselamatan dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Katanya, keutamaan kerajaan pada ketika ini perlu diberikan kepada kebajikan rakyat tempatan yang sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi.

“Rakyat Malaysia sedang bergelut dengan kenaikan harga barang, kos perumahan dan peluang pekerjaan yang semakin kompetitif.

” Oleh itu, kerajaan perlu memastikan kepentingan rakyat didahulukan dalam setiap dasar yang dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Dato’ Dr Mustaffa berkata komuniti antarabangsa tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada negara-negara transit seperti Malaysia dalam menangani krisis kemanusiaan Rohingya.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah proaktif dengan bekerjasama bersama badan-badan antarabangsa bagi menempatkan semula pelarian Rohingya ke negara-negara yang bersedia menerima mereka secara rasmi .

“Malaysia tidak boleh menjadi destinasi penempatan kekal kepada pelarian. Penyelesaian terbaik ialah menempatkan mereka di negara ketiga yang mempunyai sumber, kemampuan dan dasar yang sesuai untuk menguruskan komuniti pelarian,” katanya.

Tambah beliau, kawalan sempadan negara juga perlu diperkukuhkan bagi memastikan kemasukan pendatang tanpa dokumen dapat dibendung demi menjaga kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berharap kerajaan Persekutuan dapat menilai semula dasar berkaitan pelarian dan mengadakan perbincangan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan keseimbangan antara tanggungjawab kemanusiaan dan kepentingan negara dapat dicapai.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.