Rakyat Sabah Tolak GRS, UMNO, PH- Warisan Yakin Kemenangan

DSSA dan Dato' Dr Mustafa berganding bahu berkempen di Sabah

KOTA KINABALU– Gelombang penolakan rakyat Sabah terhadap UMNO, GRS serta sekutu Pakatan Harapan (PH) semakin ketara, sekali gus membuka laluan lebih luas kepada kebangkitan semula Parti Warisan pada pilihan raya negeri akan datang, kata Timbalan Pengerusi Warisan Kedah, Dato’ Dr Mustafa Idrus.

Mustafa berkata penolakan ini jelas dikesan sepanjang siri jelajahnya di pelbagai daerah, apabila rakyat menyatakan rasa kecewa terhadap pentadbiran gabungan kerajaan sedia ada yang dianggap gagal mengurus isu asas rakyat.

“Di setiap daerah yang saya kunjungi, rakyat menyatakan mereka tidak lagi percaya kepada UMNO, GRS ataupun sekutu PH.

“Pelbagai isu tidak selesai daripada harga barang, peluang kerja, kemiskinan, hinggalah kelemahan pembangunan daerah,” katanya.

Menurut beliau, sokongan semakin memihak kepada Warisan kerana rakyat melihat parti itu sebagai satu-satunya pilihan yang bebas, tidak terikat dengan permainan politik blok-blok kerajaan semasa.

“Rakyat mahukan sebuah parti yang berdiri atas kekuatan sendiri, bukan bergantung pada UMNO, GRS atau PH.

“Keputusan Warisan bergerak solo memberikan keyakinan bahawa perjuangan parti ini adalah untuk rakyat, bukan untuk mana-mana gabungan politik,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata rekod kerja keras Presiden Warisan, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal (DSSA) memainkan peranan besar dalam mengukuhkan kepercayaan rakyat.

“DSSA sentiasa turun padang hampir setiap bulan sejak dulu lagi. Komitmen beliau tidak pernah luntur. Rakyat merasakan pemimpin ini benar-benar dekat dengan mereka, bukan hanya hadir ketika musim pilihan raya,” katanya.

Beliau percaya, trend sokongan semasa memberi isyarat jelas bahawa Warisan berada di landasan paling kukuh untuk kembali menerajui pentadbiran Sabah.

“Gelombang rakyat semakin kuat. Mereka menolak UMNO, menolak GRS, menolak sekutu PH. Rakyat memilih kestabilan dan masa depan yang lebih baik, dan mereka yakin Warisan mampu memberikannya,”katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.