ALOR SETAR -Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah tampil dengan kenyataan tegas menuntut agar kes kematian tragis Allahyarhamah adik Zara Qairina disiasat secara telus dan diselesaikan dengan segera.
Tragedi ini, menurut PAMM, bukan hanya episod duka keluarga mangsa, bahkan menguji ketelusan pendidikan negara dan kredibiliti kerajaan untuk melindungi keselamatan rakyat dan bersama keadilan rakyat atau sebaliknya.
Pengerusi PAMM Negeri Kedah, Dato’ Mustaffa Idrus menegaskan, pihak yang bertanggungjawab perlu segera dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman berat.
Katanya, sebarang kelewatan atau percubaan untuk melindungi pelaku hanya akan menambahkan luka dan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Keadilan untuk adik Zara Qairina mesti ditegakkan secara telus. Kes ini tidak boleh sama sekali dilengah-lengahkan atau dipermainkan. Pembunuh perlu dihukum dengan seberat-berat hukuman agar menjadi pengajaran kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Risiko Hilang Keyakinan terhadap Sistem Persekolahan
Mustaffa turut memberi amaran bahawa selagi kes ini tidak diselesaikan, ia boleh mencetuskan ketidakpercayaan waris terhadap sistem persekolahan, sekali gus menjejaskan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
Situasi ini, katanya, berpotensi mengakibatkan ramai pelajar tercicir pelajaran kerana hilang rasa selamat untuk berada dalam persekitaran sekolah.
“Bayangkan, jika sekolah yang sepatutnya menjadi tempat menimba ilmu dan membina masa depan, kini dilihat berbahaya dan penuh risiko. Bagaimana mungkin ibu bapa sanggup membiarkan anak mereka ke sana dengan hati yang tenang?” ujarnya lagi.
Menteri Pendidikan Wajar Letak Jawatan
Dalam kenyataan itu juga, PAMM Kedah menzahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dianggap gagal menangani isu keselamatan pelajar secara berkesan.
Mustaffa secara terbuka menggesa Menteri Pendidikan mengambil tanggungjawab penuh atas kelemahan tersebut.
“Menteri Pendidikan wajar meletakkan jawatan kerana kelemahan ini telah meragut nyawa seorang pelajar. Ia bukan tragedi biasa. Tragedi ini melibatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pendidikan negara,” tegasnya.
Kerajaan Tidak Boleh Berlindung
PAMM Kedah turut mengingatkan kerajaan supaya tidak berlindung di sebalik permainan politik atau sebarang bentuk suapan. Katanya, keresahan rakyat kini semakin membara dan hanya penyelesaian yang adil serta telus mampu menenangkan keadaan.
“Kerajaan mesti membuktikan keberanian untuk menegakkan keadilan. Jangan ada mana-mana pihak dilindungi. Jangan ada kuasa atau wang yang menghalang kebenaran ditegakkan,” tambahnya.
Suara Rakyat, Suara Keadilan
Menurut Mustaffa, tragedi ini telah menyentuh hati nurani rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Kegagalan menangani kes adik Zara Qairina dengan adil akan memberikan kesan jangka panjang, bukan sahaja terhadap keluarga mangsa, tetapi juga terhadap keyakinan masyarakat terhadap institusi pendidikan dan keadilan negara.
“Penyelesaian segera dengan keadilan merupakan satu-satunya jalan untuk mengembalikan keyakinan rakyat. Kami di PAMM Kedah akan terus memantau dan menekan pihak berkuasa agar keadilan ditegakkan tanpa kompromi,” katanya.
RENTAS7








Leave a Reply