Guru wajar dekati pelajar dengan kumpulan WhatsApp, Facebook

Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Persatuan Angkatan Melayu Kedah (PAMM) menyarankan guru-guru “mendekati” para murid dan pelajar mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui media sosial.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus (gambar) berkata, para guru boleh menjadikan media sosial seperti WhatsApp atau Telegram sebagai ruang terbaik untuk memberikan bimbingan dalam pelajaran dan nasihat.

“Melalui Professional Learning Community (PLC), para guru dapat merancang dan menyediakan pelan perancangan yang bersesuaian dengan situasi murid di rumah.

“Walaupun pembelajaran di sekolah terhenti kerana COVID19, tetapi guru-guru masih boleh mengajar mereka melalui alternatif lain seperti pembelajaran dalam kumpulan di WhatsApp atau Facebook,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustaffa berkata, warga pendidik juga disaran mewujudkan kumpulan dialog sesama mereka supaya tugas pembelajaran di media sosial bertambah lancar.

Namun katanya, penggunaan media sosial janganlah sehingga membebankan murid-murid yang kurang berkemampuan.

“Ada murid yang tidak mempunyai gajet untuk melaksanakan kaedah pembelajaran atas talian, ia pastinya mengundang masalah kepada ibu bapa yang kurang mampu.

“Jadi bagi murid kurang mampu, guru boleh gunakan medium tersedia untuk murid terus boleh belajar di rumah seperti menggunakan buku teks,”katanya.

Beliau berkata, pengunaan media sosial dalam kalangan murid-murid wajib dipantau ibu-bapa.

“Pastikan mereka mendapat sebaran maklumat daripada guru mata pelajaran berkaitan nota mahupun kerja rumah.

“Sentiasalah pantau mereka supaya tidak menyalahgunakan fungsi telefon bimbit dengan bermain permainan dalam talian sepanjang hari.

“Berikan anak-anak ruang masa untuk membaca dan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru,”katanya.

Tiga jam 30 minit

Mustaffa berkata, sepanjang PKP, masa paling ideal untuk murid mengulangkaji pelajaran ialah selama tiga jam 30 minit.

“Jika di sekolah mereka menghabiskan masa tujuh jam sehari tetapi adakah di rumah mereka perlu memperuntukkan masa yang sama untuk belajar?

“Murid seharusnya meluangkan masa separuh daripada masa persekolahan mereka iaitu 3 jam 30 minit untuk membaca buku, mengulang kaji pelajaran yang lalu selain menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Selebihnya mereka patut didedahkan dengan aktiviti berkeluarga,”,katanya.

Bagi memastikan kelangsungan belajar di rumah dapat dilaksanakan, beliau berharap semua pihak terlibat memberikan sokongan kepada murid dan pelajar sekolah.

Patuh arahan KKM

Dalam pada itu katanya, semua warga sekolah dinasihati sentiasa mematuhi arahan dan saranan khususanya daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

“Patuhilah peraturan, usah tinggalkan rumah. Sekiranya pihak guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG) ada merancang untuk membantu ahli-ahli PIBG yang bermasalah, biarlah segala bantuan diberikan secara khidmat dalam talian. Usahlah mengundang risiko dan utamakanlah berada di rumah.

“Utamakan keselamatan dan kesihatan, jaga pemakanan dan lakukanlah senaman ringan.Ambil peluang ini sebagai masa untuk muhasabah kearah menjadikan kita sebagai pegawai serta pendidik yang lebih berketerampilan,”katanya

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.