Putus jari kerana PAS, tapi tetap setia

DIA bukan nama besar dalam arena politik di peringkat negeri mahupun nasional.

Tetapi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu di sini dirinya amat dikenali penduduk.

Sikapnya yang ramah dengan penduduk membuatkan ada yang mengusiknya sebagai “Yang Berhormat” (YB).

Fakhurazi Ahmad,57, (gambar) atau mesra dipanggil Pak Ngah Yie adalah salah seorang individu terawal menggerakkan perjuangan PAS di kampung kelahirannya iaitu Kampung Rambong Batu 7, Baling Kedah.

Menyertai PAS seawal usia 20 tahun, Pak Ngah Yie mempunyai pengalaman perit bersama PAS yang tidak mampu dilupakan hingga kini.

Puncanya, apabila salah satu jari kakinya terputus ketika membantu memasang bendera PAS sempena PRU pada I999.

Menceritakan lanjut pengalaman itu, Pak Ngah berkata, kejadian itu berlaku pada pukul I2.00 malam di kampungnya.

Katanya, kawasan berkenaan gelap memandangkan belum ada lampu jalan dipasang pada waktu itu.

“Pada malam tu Pak Ngah berseorangan memasang bendera di tepi jalan utama kampung.

“Waktu sedang memacak bendera tiba-tiba datang sebuah motosikal dan terus melanggar Pak Ngah yang berada di tepi jalan.

“Pelanggaran tu membuatkan jari kaki kanan (telunjuk) putus, penunggang motosikal tu pula meninggal dunia.

“Akibat kejadian Pak Ngah dirawat di Hospital daerah Baling kira-kira selama sebulan,”katanya.

 

Sambung Pak Ngah, ketika tarikh PRU tiba, dirinya masih lagi dirawat di hospital berkenaan.

Namun dek kerana cintakan perjuangan Islam dia mengagahkan diri untuk keluar ke pusat pengundian bagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang ahli parti dan rakyat Malaysia.

“Pak Ngah yang berkerusi roda waktu tu dibantu kawan-kawan untuk keluar mengundi. Sebaik saja membuang undi hati Pak Ngah sebak diselangi rasa gembira.

Jari kaki Pak Ngah yang putus

“Sebak kerana diri masih diberi peluang tunai kewajipan mengundi walaupun sakit, gembira kerana melihat semangat masyarakat memberikan sokongan kepada parti,”katanya.

Pak Ngah yang merupakan ayah kepada lima anak berkata, kecacatan pada bahagian anggota tubuh badan tidak melemahkan semangat diri untuk terus menabur bakti kepada parti Islam tercinta.

“Malah sampai hari ini Pak Ngah masih pasang bendera parti. Jika ada mana-mana PRK Pak Ngah akan turun untuk membantu jentera PAS.

“Di depan ALLAH nanti bila ditanya apa sumbangan Pak Ngah terhadap Islam? Biarlah jari itu yang menjadi saksi nanti. Jari yang putus itu Pak Ngah sedekahkan kepada perjuangan Islam,”katanya.

 

Tambahnya, sepanjang bersama PAS, pelbagai cabaran lain dirempuh antaranya ialah cemuhan kata-kata nista kepada dirinya.

“Tapi Pakngah anggap semua itu ujian. Buat apa kita perlu peduli semua tu?,”katanya.

Pak Ngah yang kini bertugas sebagai Pegawai Khas Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bayu berharap generasi akan datang akan terus mendokong PAS yang mengangkat Islam sebagai dasar utama perjuangan.

“Pak Ngah harap sebelum mata Pak Ngah terpenjam, PAS dapat perintah negara.

“Biarlah undang-undang Islam tertegak di negara ini. Hanya dengan Islam semuanya selamat,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.