Tiada ejen dilantik urus pendaftaran Program Rekalibrasi PATI

Dato' Indera Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR-Tiada ejen atau pihak ketiga dilantik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin (PATI).

Ketua Pengarah JIM, Dato’ Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, JIM menerima pertanyaan berhubung ejen serta pihak ketiga yang menawarkan perkhidmatan untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi PATI kepada majikan yang ingin menggaji PATI dan kepada PATI yang ingin pulang ke negara asal dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu.

“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga untuk menguruskan pendaftaran Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang urusan dengan ejen dan pihak ketiga untuk pendaftaran Program Rekalibrasi,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ada antara ejen dan pihak ketiga yang berselindung di sebalik nama NGO dan syarikat pembekal tenaga kerja bagi memancing majikan untuk menggunakan perkhidmatan mereka.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berurusan terus dengan JIM dan sentiasa mengikuti perkembangan serta pengumuman terkini tentang Program Rekalibrasi.

“Jabatan ini sentiasa membuat pengumuman dari semasa ke semasa dan orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung program ini boleh membuat pertanyaan melalui Sistem Pertanyaan Online (SPO) yang boleh dicapai di pautan www.imi.gov.my .

“Pendaftaran program ini boleh dibuat secara terus di laman web www.imi.gov.my,”katanya

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.