Semarak Bahasa 2.0: Isyarat Rakyat kepada Kerajaan

Semarak Bahasa 2.0 menghimpunkan tiga sasterawan dari tiga negara dengan penyertaan 30 peserta dari Kedah dan Patani

BALING – Semarak Bahasa 2.0 anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Baling pada Sabtu lalu, menghantar satu mesej yang jelas kepada kerajaan bahawa Bahasa Ibunda tiada penggantinya.

Pengarah Program Semarak Bahasa 2.0, Ustaz Subri Yahya, berkata program itu boleh disifatkan sebagai misi serampang dua mata kerana selain melahirkan lebih ramai penulis yang berdiri atas landasan Bahasa Ibunda, ia turut menghantar mesej tegas kepada kerajaan agar tidak sesekali menggadaikan atau “menjajah” bahasa rasmi negara.

“Mutakhir ini, puak chauvinis semakin lantang menyuarakan tuntutan agar Unified Examination Certificate (UEC) yang menggunakan Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar diangkat dan diiktiraf secara rasmi.

“Desakan bertalu-talu daripada DAP untuk mengiktiraf UEC bukan sekadar isu pendidikan, sebaliknya boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk tekanan terhadap Bahasa Melayu, yang merupakan bahasa rasmi Persekutuan dan termaktub kemas dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya kepada RENTAS7.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan tunduk kepada desakan tersebut, ia boleh dianggap sebagai ancaman serius terhadap kelangsungan Bahasa Ibunda, iaitu bahasa rasmi negara, bahasa pertuturan rakyat, bahasa penulisan serta bahasa warisan nenek moyang yang membentuk jati diri bangsa.

Penganjuran Semarak Bahasa yang kini memasuki tahun kedua merupakan program di bawah Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Baling dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Kupang.

Ustaz Subri menegaskan bahawa di sebalik usaha puak chauvinis memartabatkan UEC, masih wujud ramai jiwa yang berakar kukuh pada Bahasa Ibunda dan sanggup mempertahankan bahasa mereka hingga ke hembusan nafas terakhir.

“Dengan memartabatkan Bahasa Melayu bukan bererti mengadaikan bahasa-bahasa lain seperti Mandarin atau Tamil dan lain-lain. Mereka bebas mengamalkan bahasa mereka dan seolah-sekolah vernakular masih mengamalkan bahasa Ibunda masing-masing,”katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, YB Ustaz Hassan Saad, berkata pihaknya bersedia memperhebatkan kempen pemerkasaan Bahasa Ibunda menerusi penganjuran Semarak Bahasa 3.0 pada tahun hadapan dengan skala yang lebih besar serta penglibatan masyarakat yang lebih meluas.

“Program Semarak Bahasa 2.0 menghimpunkan tiga sasterawan dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Thailand dan Singapura dengan penyertaan para peserta dari Kedah dan Patani Darussalam,”katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.