ALOR SETAR-Tuan tanah bakal kehilangan tanah sendiri setelah persempadanan semula kawasan Parlimen menjelang PRU-16 diluluskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Apa yang telah dirasai oleh penduduk Palestin, Melayu Champa, Melayu Patani dan Singapura termasuk penduduk asal di beberapa negara lain yang telah kehilangan status sebagai hak milik, tidak mustahil menimpa Melayu di tanah berdaulat Malaysia.
Realitinya tetap akan berlaku, walaupun sesetengah orang yang selesa dengan pangkat dan kedudukan sementara merasa skeptikal dengan kenyataan itu.
Kelompok ini menganggap ia hanya sekadar kenyataan kosong, bermotif politik atau sebaliknya.
Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, ura-ura Kerajaan Pusat mahu menambah jumlah Kerusi Parlimen perlu dipandang serius oleh semua pihak.
Menurutnya, usaha tersebut telah pun dijalan rapi dengan Parti Amanah Negara khususnya antara pihak yang menyokong usul persempadanan
“Lebih 300 perwakilan Amanah Selangor sebulat suara menyokong usul persempadanan semula.
“Pelbagai pihak juga telah menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan perkara sama termasuk apa dilaporkan kebanyakan media. PAMM mengajak rakyat untuk menyedari nasib bakal menimpa kita selepas ini,”katanya kepada media RENTAS7.
Laporan media tempatan menyebut, SPR dicadang mengkaji kembali kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 100,000 orang.
Terdapat tidak kurang dari 85 kawasan Parlimen yang mempunyai 100,000 pengundi seperti info dalam laman web SPR akan dipecahkan kepada dua kawasan sekiranya SPR tunduk kepada tuntutan berkenaan.
Dalam erti kata lain, jumlah kerusi Parlimen bakal bertambah dari 222 kerusi kepada 307 kerusi.
Mengulas lanjut Mustaffa Idrus berkata, DAP parti paling untung sekiranya persempadanan semula ini dilakukan.
Menurutnya, majoriti pengundi Melayu hanya tertumpu di pinggir-pinggir bandar atau kampung, sedangkan kaum Cina sudah pun tertumpu di kawasan bandar dan metropolitan.
“Kawasan-kawasan bandar paling untung jika persempadanan ini dibuat semula. Apa lagi jika mencecah kepada 300 kerusi.
“DAP akan membentuk kerajaan dalam masa singkat. Situasi lebih jelas lagi, di mana parti-parti Melayu tidak akan cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.
“Masing-masing akhirnya perlu bergantung dengan DAP untuk membentuk kerajaan. Hal ini telah pun berlaku pada PRU-15 dan kita masih belum mahu mengambil pengajaran.
“Tetapi kita masih untung kerana parti Melayu pada PRU15 masih boleh mendominasi cuma tidak boleh membentuk kerajaan kerana parti Melayu lain memilih untuk bersama kelompok DAP. Kita masih mempunyai kelebihan untuk bersuara buat waktu ini.
“Akan tetapi pada PRU seterusnya, DAP dijangka akan mudah mencapai sekurang-sekurangnya 80 buah kerusi atau lebih. Ini bermakna, mereka hanya memerlukan sedikit saja kerusi Melayu untuk membentuk kerajaan. Atau barangkali mereka tidak lagi memerlukan kerusi Melayu,”katanya.
Mustafa berkata, apa berlaku kepada Palestin, Singapura dan lain-lain negara yang menafikan kuasa penduduk asal sedang berbunga di negara ini.
“Dalam menghadapi situasi ini semua parti politik Melayu merentasi ideologi dan warna perlu duduk sekali dan berbincang akan nasib kaum Melayu,”katanya.
Beliau berkata, penambahan kerusi Parlimen mengakibatkan kuasa Melayu akan terhakis terus sedangkan kini kuasa Melayu di hujung tanduk termasuk sudah hilang kuasa ekonomi.
“Antara sedar atau tidak 10 tahun lagi Melayu tidak berkuasa lagi. Hal ini juga diakui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Andai penambahan ini berlaku, lagi cepat masa berlalu. Semoga pihak kerajaan tidak meluluskan tambahan jumlah kerusi Parlimen. Sudah cukuplah dengan jumlah yang ada, terlalu banyak dah.
“Tambahan kerusi Parlimen juga beerti kerajaan akan banyak menyara wakil-wakil rakyat berbanding rakyat sendiri,”katanya.
Tuntutnya, Ahli Parlimen pembangkang perlu lebih bekerja keras bersuara dan mempertahankan hak rakyat di Dewan Rakyat manakala orang-orang Melayu perlu mempunyai kesedaran tinggi terhadap nasib bakal menimpa tanah air.
RENTAS7








Leave a Reply