Pengumuman BUDI95: Kerajaan Madani Disifatkan ‘Haji Baqhil bin Lebai Kedekut’ – PAMM Kedah

Dato' Mustaffa Idrus

ALOR SETAR – Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah menyifatkan pengumuman kerajaan mengenai subsidi petrol melalui program Budi Madani RON95 (BUDI95) sebagai tidak berbaloi dan hanya menambah beban rakyat.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, skim bantuan yang bersamaan dengan 300 liter sebulan itu hanya bernilai sekitar RM18, jumlah yang terlalu kecil dan tidak mampu membantu rakyat menghadapi kos sara hidup semasa.

“Ramai rakyat menggunakan minyak jauh melebihi RM18 sebulan. Jadi, bantuan ini tidak sampai kepada sasaran sebenar. Malah, pengumuman ini kelihatan sekadar retorik, ibarat watak Haji Bakhil Lebai Kedekut dalam cerita P. Ramlee,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sikap kedekut dalam memberi bantuan akhirnya merugikan kerajaan sendiri kerana rakyat akan melihat pengumuman itu sebagai tidak ikhlas.

“Macam tidak mahu tolong sahaja sebenarnya. Orang kedekut selalunya rugi. Pengumuman seperti ini akhirnya hanya menjadi bahan ketawa rakyat bahkan negara luar,” tegasnya.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya sedar bahawa Malaysia adalah negara pengeluar minyak dan tidak wajar dilihat sebagai sebuah kerajaan yang “kedekut minyak” kepada rakyatnya sendiri.

“Kalau benar mahu membantu rakyat, kerajaan sepatutnya menyelaraskan harga petrol seperti yang pernah dilakukan oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini. Skim sebegini hanya menambah birokrasi dan akhirnya menyusahkan rakyat,” jelas beliau.

Datuk Mustaffa turut membangkitkan kebimbangan mengenai penggunaan kad pengenalan (IC) di stesen minyak untuk menebus subsidi tersebut yang dijangka menyebabkan kesesakan dan menyulitkan orang ramai.

“Ini satu langkah yang tidak pernah dibuat orang. Untuk apa IC digunakan sedangkan IC adalah dokumen keselamatan rakyat? Soalnya, agenda apa yang tersembunyi di sebalik pelaksanaan ini?” katanya.

Beliau menambah, penggunaan IC untuk subsidi petrol juga menimbulkan persoalan besar tentang keselamatan data peribadi rakyat.

“IC mengandungi maklumat sulit rakyat Malaysia. Apabila diminta di stesen minyak, ia membuka ruang kepada kebocoran data dan penyalahgunaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini bukan sahaja menyusahkan, malah boleh mengancam keselamatan rakyat,” katanya lagi.

Datuk Mustaffa menegaskan, PAMM Negeri Kedah mendesak kerajaan supaya mengkaji semula langkah tersebut dan mencari pendekatan yang lebih adil, berkesan dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“PMX sepatutnya menunaikan anji pilihanraya dahulu, bukan menyulitkan rakyat dengan BUDI95 yang tak berbudi. Jadilah pemimpin yang di sanjung, bukan pemimpin yang didoakan kemusnahannya,”katanya.

Rentas7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.