JAKARTA-Industri nanas Malaysia terus mencatatkan kejayaan cemerlang di pentas antarabangsa apabila syarikat tempatan, Ananas Premium, berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai USD1.5 juta di pameran antarabangsa Salon International de l’Alimentation (SIAL-InterFOOD) Indonesia 2024 pada Jumaat lalu.
MoU tersebut dimeterai bersama dua syarikat berpangkalan di Indonesia untuk pengeksportan jus nanas dan nanas premium jenis MD2 ke pasaran tempatan dan serantau.
Majlis menandatangani MoU disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), YBrs. Sheikh Umar Bagharib bin Ali, dan Ketua Pengarah LPNM, YBrs. En. Mohd Khairuzamri M Salleh, bersama pegawai-pegawai LPNM yang lain.
Penyertaan di SIAL-InterFOOD Indonesia 2024 bukan sahaja menonjolkan kualiti produk nanas Malaysia, tetapi turut memperkenalkan teknologi terkini dan inovasi dalam pemprosesan nanas kepada pengunjung antarabangsa.
Kejayaan ini adalah kesinambungan momentum daripada kejayaan sebelumnya di SIAL Perancis, sekaligus menonjolkan nanas Malaysia di persada dunia.
“Kejayaan ini membuka lembaran baharu buat industri nanas Malaysia, khususnya dalam meningkatkan eksport produk-produk berasaskan nanas. Ia juga menjadi bukti kepada hubungan perdagangan yang semakin kukuh antara Malaysia dan Indonesia,” kata Pengerusi LPNM, YBrs. Sheikh Umar Bagharib bin Ali.
Malaysia kekal komited dalam memperluas pasaran nanas premium seperti MD2 serta pelbagai produk hiliran nanas ke peringkat antarabangsa. Kejayaan ini sejajar dengan slogan “Nanas Power! Sekali
Tanam, 3 Kali Tuai” yang mencerminkan keberkesanan teknologi dan produktiviti sektor pertanian Malaysia.
Turut diperkenalkan pada sesi ini adalah jus nanas dan minuman bertenaga nanas. Reruai LPNM mendapat perhatian dan kunjungan daripada pengunjung pelbagai negara. Sepanjang tempoh bermula 13 sehingga 16 November 2024, produk berasaskan nanas negara mendapat perhatian yang baik dan beberapa perbincangan awal berkenaan potensi dan peluang pasaran eksport produk negara telah berlangsung.
RENTAS7







Leave a Reply