Manfaatkan COVID-19 untuk lonjak harga getah

SUNGAI PETANI– Kerajaan perlu memanfaatkan situasi penularan wabak COVID-19 bagi membantu pekebun kecil mendapatkan pendapatan lebih tinggi.

Pengerusi Pertubuhan Angkatan Melayu Kedah (PAMM) Datuk Mustaffa Idrus berkata, penularan wabak COVID-19 dapat melonjakkan harga getah skrap ekoran permintaan tinggi dunia terhadap sarung tangan getah.

“Sekiranya kerajaan bijak mengambil peluang ini, penoreh getah akan menikmati pendapatan yang lebih selesa.

“PAMM difahamkan, harga getah skrap bagi sekilogram kini dibawah paras RM2.00. Justeru, agensi terutamanya Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan RISDA perlu segera bertindak bagi atasi masalah ,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustaffa Idrus

Beliau berkata, sebanyak 65 peratus sarung tangan getah bagi perubatan digunakan di Amerika Syarikat ialah buatan Malaysia.

“Perkara itu diakui sendiri Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia . Selain Amerika Syarikat, kerajaan boleh mengeksport lebih banyak sarung tangan getah ke negara-negara lain.

“Jika kita beranggapan situasi sekarang akan memberikan kesan kepada ekonomi pekebun kecil, saya rasa pandangan seperti itu wajar diperbetulkan.

“Kita gagal sekiranya tidak bertindak dan tidak merebut peluang. Setiap masalah ada solusinya,”katanya.

Mustafa berkata, dalam masa sama, kerajaan dinasihati memastikan stok sarung tangan getah bagi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencukupi.

“Jangan pula kerana terlalu mengejar pendapatan, negara sendiri tidak mempunyai keperluan yang cukup,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.